Wednesday 29 May 2013

Ciri-ciri I La Galigo

I La Galigo merupakan salah satu daripada karya teks sastera Bugis Kuno yang berbentuk epik.  Karya ini dikatakan ditulis dari kerajaan Luwu’, Sulawesi Selatan, Indonesia pada abad ke-13 lagi.  Bahkan, karya ini juga dikatakan sebagai sebuah epik yang terpanjang di dunia, iaitu wujud sebelum epik Mahabrata dan Ramayana dari India lagi.  Sinopsis bagi karya I La Galigo adalah sebanyak 2851 halaman dan menurut naskhah cerita aslinya pula mencapai 300 000 baris.Selain itu, karya sastera Bugis ini ditulis dalam bentuk puisi bahasa Bugis Kuno dengan menggunakan huruf Lontara Kuno Bugis.  Puisi-puisi tersebut terdiri daripada sajak yang bersuku lima.

Antara cirinya yang lain ialah I La Galigo mempunyai struktur cerita yang panjang dengan memuatkan beberapa subcerita di dalamnya.  Subcerita yang dikenali sebagai episod itu pula dilihat daripada dua sudut pula. Pertama, episod yang merupakan cerita keseluruhan La Galigo. Kedua, episod-episod tersebut dikatakan merupakan cerita tersendiri dalam bingkai La Galigo.  Hal yang demikian ini disebabkan oleh kepanjangan ceritanya merangkumi setiap tokoh sehingga tidak tertampung penceritaannya dalam satu-satu episod. Bukan itu sahaja, malahan terjadi satu-satu cerita mempunyai dua atau tiga episod sekaligus di dalamnya. Dengan erti kata lain, hal ini bergantung kepada kuantiti peristiwa yang diceritakan dalam epik ini.

I La Galigo juga tidak boleh diterima sebagai teks sejarah kerana isi penceritaannya penuh dengan mitos dan peristiwa-peristiwa yang luar biasa.  Namun begitu, karya ini tetap memberi gambaran kepada sejarahwan mengenai kebudayaan Bugis sebelum abad ke-14. Epik kemudiannya hidup dan berkembang dalam kalangan masyarakat Sulawesi, Kalimantan dan Semenanjung Melayu yang disampaikan secara lisan dan juga tulisan kepada masyarakat ketika itu.  Pengarang bagi epik I La Galigo masih tidak diketahui lagi.
Sebahagian manuskrip I La Galigo dapat ditemui di perpustakaan-perpustakaan tertentu, khususnya di Perpustakaan Leiden, Belanda.  600 halaman mengenai epik ini terdapat atau tersimpan di Yayasan Kebudayaan Sulawesi Selatan dan Tenggara.  Jumlah halaman epik  yang tersimpan di Eropah dan di Yayasan Kebudayaan Sulawesi Selatan dan Tenggara ialah 6000 halaman dan tidak termasuk simpanan oleh orang perseorangan lagi. 

I La Galigo pernah dipentaskan di beberapa buah negara Eropah sebelum dipentaskan di negeri mereka sendiri. Sepanjang tahun 2004, La Galigo telah dipentaskan di Belanda, Perancis dan Amerika.  Respon yang positif telah diberikan dari pelbagai lapisan masyarakat mengenai pementasan tersebut.  Bahkan, Koran The New York Times sangat kritis dalam memberikan komen-komen yang positif mengenai La Galigo yang dipentaskan itu.

Robert Wilson bertanggungjawab melaksanakan pementasan itu yang merupakan seorang seniman teater dari Amerika Syarikat.  Perkara yang agak mengecewakan ialah pementasan itu tidak diangkat sendiri oleh masyarakat Bugis sehinggakan beberapa kali pementasan telah diadakan di Eropah berbanding di negeri mereka.  Fenomena ini telah menyebabkan epik ini diadaptasi dan berlaku percampuran kebudayaan luar, akan tetapi masih mengekalkan ciri-ciri kebudayaan Makassar.


Gaya Bahasa dalam Hikayat Inderaputera

Simile
Simile adalah perumpamaan. Simile juga merupakan perbandingan terus, iaitu membandingkan dua hal yang pada hakikatnya berlainan tetapi dengan sengaja kita menganggapnya sama. Perumpamaan ini secara jelas mengungkapkan sesuatu perbandingan atau persamaan dengan menggunakan perkataan ‘seperti’, ‘bagai’, ‘laksana’ dan sebagainya. Antara contoh penggunaan gaya bahasa simile dalam Hikayat Inderaputera adalah seperti berikut:
“Maka ujar bayan itu, ‘Tiadakah ghairat hari tuanku mendengar khabar Tuan Puteri Ratna Serigading, timang-timangannya Tuan Puteri Cenderalela Nurlela di Padang Anta Berahi di atas mahligai yang keemasan bertatahkan ratna mutu manikam, terlalu elok rupanya, rambutnya seperti cincin dituang,  dahinya bagai sehari bulan, keningnya bagai ditaji dibentuk, matanya bagai bintang timur, hidungnya bagai kuntum melur, telinganya bagai telepok layu, pipinya bagai pauh dilayang, bibirnya bagai pati dicarik, giginya bagai delima merekah, lidahnya bagai cerana diupam, dagunya bagai awan bergantung, lehernya bagai kumba dilarik, bahunya bagai bahu wayang, lengannya bagai panah dibentur, jarinya bagai duri landak, susunya bagai telur burung, dadanya bagai antaran hanyut, pinggangnya bagai tangkai bunga, pahanya bagai paha belalang, betisnya bagai bunting padi, tapaknya bagai dua jari hujung’
Maka kata bayan itu, ‘Patut sekali dengan tuanku, seperti bunga kembang sekaki, kembangnya tidak nirmala lagi.’
(Hikayat Inderaputera, 2007:96)

Aliterasi
Aliterasi merupakan sejenis gaya bahasa pengulangan bunyi konsonan yang sama pada awal kata dan yang berturutan waima dalam puisi tradisional, puisi moden, prosa tradisional, prosa moden waima kreatif atau bukan kreatif. Penggunaan gaya bahasa dalam Hikayat Inderaputera boleh dilihat berdasarkan contoh-contoh berikut:
“Apa ketupat padi Dang Nilam,
Temu-temu parang lengkuas,
Apa ubat hati yang dendam,
Sukar bertemu makanya puas,”

“Ke padang rimba raya,
Kumbang menyeri pekan sutera,
Kepada pemandangan sahaya,
Sedang akan isteri Inderaputera.”
(Hikayat Inderaputera, 2007:121)


Berdasarkan contoh tersebut, gaya bahasa pengulangan aliterasi dapat dilihat dalam pengulangan huruf ‘t’ dalam beberapa perkataan.

Asonansi

Asonansi adalah gaya bahasa pengulangan bunyi vokal yang sama pada setiap baris atau pada setiap ayat yang biasanya secara berturutan supaya memperoleh kesan tertentu waima dalam puisi tradisional, puisi moden, prosa tradisional, prosa moden sama ada kreatif ata bukan kreatif. Pengguanaan gaya bahasa asonansi dalam Hikayat Inderaputera boleh dilihat berdasarkan contoh-contoh berikut:

‘Utar-utar di atas pintu,
Sarung keris sudah dirapat,
Orang sukar sahaja begitu,
Orang arif maka mendapat.

‘Telak empelas di dalam padi,
Menteri duduk berdagang gelang,
Tidaklah belas hati tuan puteri,
Melihat dagang terulang-ulang.
(Hikayata Inderaputera, 2007:97)
 Anafora
Anafora merupakan sejenis gaya bahasa pengulangan perkataan pertama pada setiap baris atau pada setiap ayat yang biasanya secara berturutan supaya memperoleh kesan tertentu waima dalam puisi tradisional, puisi moden, prosa tradisional, prosa moden sama ada kreatif atau bukan kreatif. Penggunaan gaya bahasa anafora ini boleh dilihat berdasarkan contoh berikut dalam Hikayat Inderaputera:

Maka segala ikan dalam parit itu pun timbul seraya tertawa melihat laku anak raja itu berkeliling mencari jalan. Maka ikan itu pun berpantun, demikian bunyinya...’
(Hikayat Inderaputera, 2007:96)

Maka anak raja itu pun hairan mendengar ikan itu berpantun. Maka ujar anak raja itu, “Dari mana gerangan jalan ke mahligai tuan puteri ini?”
(Hikayat Inderaputera,2007:97)
Sinkof
Sinkof merupakan sejenis gaya bahasa penyirnaan, iaitu pengguguran huruf sisip atau suku kata sisip perkataan atau dengan menghilangkan huruf tengah atau suku kata bagi perkataan atau pewujudan kata singkat atau ringkas, iaitu kata yang terhasil akibat penghilangan huruf atau suku kata. Penggunaan sinkof dalam Hikayat Inderaputera boleh dilihat berdasarkan contoh berikut:


Maka kata raksyasya itu, “Hai orang muda, jangan aku engkau bunuh, apa kehendakmu supaya kuberi!”
Maka dihunus Inderaputera pedangnya seraya memarang raksyasya itu, maka kata Inderaputera, “Hai Raksyasya, apatah yang ada padamu?”
Maka sahut raksyasya itu, “Ada pada hamba suatu hikmat geliga. Jikalau hendak masuk ke dalam kayu atau ke dalam batu dapat masuk.”
Maka kata Inderaputera, “Marilah geliga itu berikan kepadaku, supaya engkau kulepaskan tiada kubunuh.”
(Hikayat Inderaputera, 2007:174)

Hiperbola

Hiperbola merupakan salah satu daripada kelompok gaya bahasa pertentangan, iaitu sejenis gaya bahasa yang mengandungi kenyataan tentang sesuatu perkara secara berlebih-lebihan atau secara melampau waima dari segi jumlahnya, ukuran atau sifatnya. Tujuannya adalah untuk memberi penekanan maksud terhadap sesuatu perkara ataupun situasi demi memperhebat, meningkatkan kesan dan pengaruhnya. Contoh penggunaan gaya bahasa hiperbola dalam Hikayat Inderaputera boleh dilihat berdasarkan contoh berikut:

‘Setelah itu maka segala anak raja-raja itu bertemulah dengan Inderaputera. Maka dilihatnya rupa Inderaputera itu terlalu elok bercahaya, gilang-gemilang mukanya. Maka segala anak raja-raja itu semuanya memberi hormat kepada Inderaputera dan berjabat tangan dengan Inderaputera.’
(Hikayat Inderaputera, 2007:175)


Penggunaan Bahasa dalam Hikayat Inderaputera

Hikayat Inderaputera merupakan salah satu daripada kesusasteraan bahasa Melayu yang ditulis sebelum 1700-an. Hikayat Inderaputera juga merupakan karya agung Melayu genre lipur lara yang sangat terkenal dan tersebar luas pada abad ke-17 hingga abad ke-19. Terdapat beberapa unsur keindahan yang kita boleh lihat dalam karya Inderaputera, terutamanya dari segi penggunaan bahasanya. Pada permulaan Hikayat Inderaputera sudah menampakkan penggunaan bahasa yang indah, iaitu:

“Bahawa ini kisah ceritera Hikayat Inderaputera yang indah-indah perkataannya yang masyur pada tanah manusia dan pada tanah jin, terlalu elok rupanya, syahdan kesaktiannya dan terlalu pantas barang lakunya, dan sikapnya terlau baik dan rupanya terlalu amat manis seperti laut madu, dan jejaknya sederhana, barang lakunya dan pekertinya terlalu bai”.
                                                                                                (Hikayat Inderaputera, 2007:1)

Contoh tersebut memperlihatkan keindahan bahasanya seperti ‘amat manis seperti laut madu’ yang menampakkan rupa seseorang yang terlalu manis dan elok wajahnya.

            Selain itu, Hikayat Inderaputera juga banyak menggunakan unsur keislaman dalam penggunaan bahasa dalam karya tersebut. Hikayat Inderaputera dikitkan dengan keindahan ‘kekayaan tuhan’. Keindahan tersebut dilihat sebagai hasil Tuhan Maha Pencipta. Contoh penggunaan bahasa yang menampakkan unsur keislaman dalam Hikayat Inderaputera adalah seperti berikut:

“          Maka Inderaputera pun turun ke sebelah gunung itu. Maka dilihatnya beberapa bagai pohon buah-buahan dan bagai-bagai rasanya dimakan Inderaputera. Maka Inderaputera hairan melihat segala kekayaan Subahanahu wa Ta’ala.
Maka Inderaputera pun lalu berjalan menuju matahari hidup, beberapa melalui bukit dan padang. Maka ada suatu padang rumputnya seperti zamryt warnanya. Maka Inderaputera pun berjalan ke padang itu. Maka ada suatu bukit terlalu baik rupanya dan ada airnya mengalir daripada kaki bukit itu terlalu jernih dan sejuk. Maka di bawah bukit beberapa pohon kayu bagai-bagai rupanya dan warnanya. Maka didengar oleh Inderaputera bunyi suara orang bernyanyi dan bersyair, dan suara orang madah dan berpantun dan berseloka. Maka Inderaputera pun hairan seraya berhenti di sana melihat kekayaan Allah Ta’ala yang indah-indah. Maka kenyang  rasa hati Inderaputera melihat yang indah-indah, terlalu suka hatinya melihat. Maka Inderaputera mengucap syukur akan dirinya dan minta doa kepada Allah Ta’ala akan ayah bondanya.”
(Hikayat Inderaputera, 2007:19&20)

Bahasa yang digunakan berdasarkan contoh petikan tersebut menunjukkan terdapat unsur keislaman yang digunakan. Penggunaan bahasa dalam Hikayat Inderaputera ini sememangnya sangat indah dalam menampakkan unsur keislaman. Selain itu, terdapat contoh lain yang menampakkan unsur keislaman dalam penggunaan bahasa dalam hikayat tersebut, iaitu seperti berikut:

“....Ya ayahanda, sekalian hamba Allah itu semuanya lupa dan lalai, hanya Allah Ta’ala juga yang tiada lupa dan lalai. Serahkanlah hambamu kepada Allah subhanahu wa Ta’ala, ia juga memeliharakan segala hambanya.”
(Hikayat Inderaputera, 2007:16)

“Setelah itu maka kata Inderaputera kepada tuan puteri, ‘Hai saudaraku, mari juga tuan turun ke bawah mahligai ini, sebentar dilihat oleh tuan hamba kuasa Allah Subhanahu wa Ta’ala, kalau dapat hidup segala anak raja-raja.”
(Hikayat Inderaputera, 2007:101)

Di samping itu, dalam Hikayat Inderaputera juga banyak sekali digunakan perkataan ‘elok’ serta ‘merdu’ tentang apa-apa sahaja yang tampil di mata seperi bunga, binatang pandai berpantun, kecantikan malah tentang tindakan dalam pertempuran dan lain-lainnya sebagai ganti kepada perkataan ‘indah’. Contohnya:


“...Maka segala bidadari itu pun menanggalkan bajunya lalu turun mandi ke kolam. Kemudian maka Tuan Puteri Kemala Ratnasari pun menanggalkan bajunya antakusuma itu. Maka Inderaputera pun melihat rupa Tuan Puteri Kemala Ratnasari itu terlalau elok rupanya, gilang-gemilang tiada dapat ditentangnya. Maka Inderaputera pun hairan melihat rupa Tuan Puteri Ratnasari itu.”
(Hikayat Inderaputera, 2007:37)

“Setelah bidadari itu mendengar pantun Inderaputera maka segala bidadari itu pun tertawa seraya memandang kepada Inderaputera. Maka dilihat oleh bidadari itu rupa Inderaputera terlalu baik paras, syahdan manis barang lakunya seperti laut madu. Maka segala bidadari itu pun kembali mendapatkan tuan puteri.”
(Hikayat Inderaputera,2007:39)

“Setelah dilihat Inderaputera Tuan Puteri Kemala Ratnasari datang ke hadapannya, maka dilihat oleh Inderaputera rupa tuan puteri itu, diamat-amatinya, terlalu sekali elok rupanya, baik paras, syahdan manis barang lakunya lebih daripada laut madu.”
(Hikayat Inderaputera, 2001:43)

Contoh-contoh petikan tersebut memperlihatkan perkataan ‘elok’ sering digunakan untuk menggambarkan sesuatu yang cantik dan indah.

            Selain itu, pantun juga turut diselitkan dalam Hikayat Inderaputera. Terdapat beberapa pantun dalam hikayat tersebut. Bahasa yang digunakan dalam pantun tersebut menampakkan maksud yang jelas. Contoh pantun yang terdapat dalam Hikayat Inderaputera adalah seperti berikut:

“Mempelam tumbuh di parit,
Dipagar Dang Ratnawali,
Katakan salam doa dagang yang gharib,
Minta dikenali.”

“Tumbuh padi tanam  halia,
Kalau halia tiada tumbuh,
Embuh kami mengenali dia,
Kalau setia tiada sungguh.”

“Tumbuh padi tanam halia,
Kalau halia tiada tumbuh,

Embuh kami mengenali dia,
Kalau setia tiada sungguh.”

“Jika halia tiada tumbuh,
Ganja dikarang akan destar,
Jika setia tiada sungguh,
Bukanlah beta anak raja besar.”

(Hikayat Inderaputera, 2007:115)

Penggunaan bahasa dalam  pantun tersebut mudah untuk difahami dan bahasa yang digunakan juga begitu indah dan menarik untuk didengari.  Selain itu, bahasa yang digunakan untuk pembuka kata, iaitu rangkap pertama dan kedua dalam pantun tersebut menggunakan perkataan  yang  mempunyai unsur alam seperti halia, padi dan juga mempelam. Terdapat contoh-contoh pantun yang menggunakan perkataan selain daripada unsur alam sebagai  perbuka kata dalam Hikayat Inderaputera. Contoh-contoh pantun tersebut dalam Hikayat Inderaputera adalah seperti berikut:

“Utar-utar di atas pintu,
Pakaian Jawa main rakit,
Orang sukar saja begitu,
Membuang nyawa makanya dapat.”

“Perisyai bertali rambut,
Rambut dipintal akan cemara,
Adakah besyi tahu takut,
Adakah muda gentarkan marah.”

(Hikayat Inderaputera, 2007:118)

Contoh-contoh pantun di atas menggunakan bahasa selain unsur alam sebagai pembuka kata, iaitu pada baris pertama dan juga kedua. Selain itu, bahasa yang digunakan dalam Hikayat Inderaputera juga halus dan indah apabila menggunakan kiasan ala tradisi pantun apabila ingin memaklumkan bahawa beliau begitu mengagumi kecantikan dan keindahan bidadari ketika mereka mandi laut dengan menggambarkan pelbagai bunga dan tumbuhan. Contohnya,
‘Apa dicari bayan terbang,
Rajawali menyambar dia,
Apa dicari dayang berulang-ulang,
Orang bestari mendapat dia.

(Hikayat Inderaputera, 2007:39)

‘Anak gerda mudik sekawan,
Siripnya dilanggar duduk,
Sisiknya lekat di tangan Inderaputera,
Anak Maharaja Bikrama Bispa.

(Hikayata Inderaputera, 2007:42)


Sinopsis Hikayat Inderaputera

1.0              
Hikayat Inderaputera mengisahkan tentang kehebatan dan keistimewaan Inderaputera yang dikatakan gagah perkasa kerana dia pernah berjalan di dalam gua selama sebulan dan berjaya membunuh gergasi yang bernama Mamdu yang sebelum itu tidak dapat dibunuh oleh Raja Taleha Syah.

            Ayahanda Inderaputera bernama Raja Bikrama puspa dan bondanya pula bernama Tuan Puteri Jamjam Ratna Dewi. Setelah Inderaputera dilahirkan, Raja Bikrama menjemput ahli nujum ke istana untuk menilik masa depan anakandanya. Menurut tilikan nujum, Inderaputera akan memerintah kerajaan yang besar tetapi dilarang bermain dengan binatang kerana dibimbangi akan terjadi sesuatu yang buruk. Apabila besar, Inderaputera dihantar mengaji selama tujuh tahun kepada seorang mualim yang bernama Bersapian.

            Pada suatu ketika, Raja Bikrama Puspa menerima kehadiran dua orang utusan ufti yang terdiri daripada tukang emas dan tukang kayu yang mahir lagi hebat. Si tukang kayu mengukir seekor ikan yang indah seperti ikan hidup dan ikan itu boleh ketawa, berpantun dan berseloka apabila diletakkan di dalam air. Tukang emas pula membuat gambar merak daripada emas. Raja Bikrama Buspa meletakkan merak itu di dalam dulang emas dan perak lalu merak itupun menggerak-gerakkan ekornya dan boleh berpantun serta berseloka. Inderaputera yang masih kanak-kanak tertarik dengan merak emas lalu turun dari riba ayahnya. Dengan tidak disangka-sangka merak itu menyambar Inderaputera lalu menerbangkannya. Ayahanda dab bondanya amat berduka cita dengan kejadian tersebut.

            Inderaputera yang diterbangkan telah dijatuhkan oleh merak emas di sebuah negeri dalam sebuah kebun Nenek Kebayan. Nenek Kebayan yang pulang daripada berjual bunga menjumpai Inderaputera di dalam kebunnya. Inderaputera menceritakan kisahnya kepada Nenek Kebayan. Nenek Kebayan yang tiada cucu memelihara Inderaputera seperti cucunya sendiri dengan penuh kasih dan sayag. Sepanjang itu, rezeki Nenek Kebayan bertambah murah. Pada suatu hari, Nebek Kebayan membawa Inderaputera berjumpa dengan Perdana Menteri. Perdana Menteri begitu tertarik dengan budi bahasa Inderaputera yang begitu elok sekali. Lalu Perdana Menteri pun meminta kepada Nenek Kebayan untuk menjadikan Inderaputera sebagai anak angkatnya hanya pada sebelah siang. Nenek Kebayan akhirnya bersetuju walaupun berat hati. Akhirnya, Inderaputera membesar di bawah jagaan Nenek Kebayan dan Perdana Menteri.




TUHFAT AL-NAFIS

Teks Tuhfat Al-Nafis sememangnya sebuah kitab sejarah yang tidak asing lagi terutamanya dalam kalangan sejarawan yang mengkaji sejarah Johor-Riau Lingga dan Tanah Melayu. Tuhfat Al-Nafis merupakan kitab sejarah yang terpenting dalam kesusasteraan Melayu selepas Sejarah Melayu, iaitu karya Tun Sri Lanang, seorang Bendahara Johor sekitar tahun 1612. Ketika itu, Johor diperintah oleh Sultan Alauddin Riayat Shah III (1597-1615). Walaupun sesetengah sarjana beranggapan bahawa teks ini tidaklah sepopular teks-teks sejenis dengannya seperti Sejarah Melayu, Hikayat Raja Pasai, Hikayat Hang Tuah dan sebagainya. Namun demikian, kita dapati pengarang teks ini lebih terkehadapan berbanding teks yang sezaman dengannya.

            Hal ini dapat dilihat dari segi penggunaan sumber dan pemberian tarikh atau jangka waktu sesebuah peristiwa yang diperihalkan dalam teks ini. Ini menyebabkan teks ini lebih istimewa berbanding teks pensejarahan Melayu yang lain. Walau bagaimanapun, tidak dapat dinyatakan dengan tepat berhubung dengan tarikh teks ini dikarang. Oleh itu, berdasarkan pendapat ramai, teks ini dikarang sekitar penghujung abad ke-18 sehingga pertengahan abad ke-19. Salinan atau naskah teks ini terdiri daripada enam salinan termasuk naskah yang ditemui di Terengganu dalam tulisan Jawi. Antara tersebut adalah naskah yang dimiliki oleh W. Maxwell yan telah disalin pada tahun 1890.


Latar Belakang Pengarang Tuhfat Al-Nafis

Berdasarkan pendapat ahli sejarawan, Raja Ali Haji merupakan individu yang berperanan besar dalam mengarang teks Tuhfat al-Nafis. Namun begitu, terdapat juga pendapat yang mengatakan teks ini merupakan sebuah teks yang dikarang bersama oleh Raja Ali Haji dengan ayahnya, iaitu Raja Ahmad.

            Raja Ali Haji merupakan anak kepada Raja Ahmad (Raja Ali Haji bin Raja Ahmad) yang dikaitkan dalam teks ini. Raja Ahmad atau Engku Haji dilahirkan pada tahun 1778 dan mangkat pada 1878, sementara Raja Ali Haji dilahirkan pada tahin 1804 dan mangkat lebih awal daripada ayahnya, iaitu pada tahun 1872. Raja Ahmad, iaitu ayah kepada Raja Ali Haji merupakan anak kepada Raja Haji (Marhum mangkat di Ketapang, Melaka) yang merupakan Yang Dipertua Muda Keempat Johor-Riau. Manakala, Raja Haji pula merupakan anak kepada Daeng Celak bin Daeng Relaka (Yang Dipertua Muda Kedua Johor Riau) daripada keluarga Bugis di Sulawesi, iaitu tempat asal Opu Bugis Lima Bersaudara.

            Raja Ali Haji juga merupakan seorang intelektual terkenal di penghujung abad ke-19. Kecemerlangan Raja Ali Haji dalam dunia intelektual berkat karya-karya dan perjuangan dalam mencerdaskan masyarakatnya. Karya-karyanya tidak hanya terbatas pada Gurindam Dua Belas, sebagai sebuah karya sastera yang sangat terkenal, tetapi turut meliputi pelbagai bidang seperti agama, sejarah, bahasa dan budaya Melayu.

            Selain daripada faktor keturunan yang mempengaruhi Raja Ali Haji lebih pro Bugis, faktor latar belakang hidupnya juga banyak mempengaruhi beliau. Beliau telah dibesarkan di istana Riau, pernah menjawat beberapa jawatan penting kerajaan seperti penasihat raja-raja Riau, menjadi pakar undang-undang, guru agama dan hakim di Riau. Justeru itu, berdasarkan latar belakang keturunan dan kehidupan Raja Ali Haji, jelaslah menunjukkan beliau mempunyai hubungan atau pertalian darah yang amat kuat dengan Opu Bugis lima bersaudara dan yang dikaitkan dengan keturunan Raja Bugis di Sulawesi.

            Salah satu karya besar Raja Ali Haji dalam bidang sejarah ialah Tuhfat Al-Nafis. Karya ini merupakan karya sejarah yang terpenting setelah Sejarah Melayu, karya Tun Sri Lanang, Bendahara Kerajaan Melaka. Virginia Matheson menyebut karya Raja Ali Haji ini sebagai catatan abadi tentang kerajaan Johor-Riau. Menurut Datuk Zainal Abidin Abdul Wahid, tidaklah sempurna bagi seseorang sejarawan yang menulis sejarah negeri Melayu, terutama Johor, Riau dan Selangor, jika tidak merujuk pada karya ini.

             Dalam karya Tuhfat Al-Nafis, beliau lebih cenderung dengan suku kaum Bugis. Hal ini bertepatan dengan apa yang dikatakan oleh Arba’iyah Moham Nor, iaitu beliau mengatakan tema Tuhfat Al-Nafis dikatakan lebih tertumpu kepada cerita raja-raja dan rakyat Bugis atau boleh dianggap sebagai Bugis Centric. Beliau juga sedaya upaya menjadikan Tuhfat Al-Nafis sebagai alat untuk mempertahan kedudukan suku Bugis dalam kesultanan Melayu terutama Johor.


Keobjektifan Tuhfat Al-Nafis
Pada pendapat saya, setelah membaca dan mengkaji isi kandungan Tuhfat Al-Nafis, saya mendapati pengarangnya, Raja Haji Ahmad dan Raja Ali Haji kurang objektif dalam penulisan Tuhfat Al-Nafis. Hal ini demikian kerana, setelah meneliti kandungan Tuhfat Al-Nafis, terdapat beberapa bukti dan beberapa aspek yang menunjukkan pengarang kurang objektif dalam penulisannya.

            Pengarang Tuhfat Al-Nafis bersifat kurang objektif dalam penulisannya kerana pengarang mempunyai sentimen pro Bugis. Tema Tuhfat Al-Nafis lebih cenderung kepada cerita-cerita raja dan masyarakat Bugis atau lebih dianggap sebagai Bugis centrisc. Hal ini dapat dilihat apabila pengarang bersifat antagonis terhadap suku kaum Melayu dan suku kaum Minangkabau. Pengarang sebenarnya mempunyai hubung kait dengan kaum Bugis. Dalam hal ini, pengarang merupakan keturunan daripada Yang Dipertua Kedua, iaitu Opu Daeng Celak. Selain itu, pengarang juga memberi anggapan yang negatif terhadap kaum Melayu.
Syahadan apabila dilihat oleh sesetengah suku-suku sebelah Melayu hal yang demikian itu, maka terbakarlah hatinya oleh api hasad yang tertanam di dalam hatinya.”

            Pengarang sebenarnya ingin mempengaruhi pembaca dengan memasukkan elemen-elemen positif tentang Bugis dan menyebelahi Bugis. Kredibiliti pengarang boleh dipertikaikan kerana pengarang lebih condong terhadap kaumnya sendiri.

            Selain itu, pengarang juga kurang objektif terhadap penulisan Tuhfat Al-Nafis, iaitu pengarang cuba menaikkan imej Opu Bugis Lima Bersaudara. Hal ini dapat dilihat apabila pengarang cuba mempengaruhi pembaca mengenai kehandalan pahlawan Bugis. Kecondongan Raja Ali Haji terhadap semangat Bugis yang sememangnya handal dalam peperangan sehingga mereka dapat memegang beberapa jawatan tinggi dalam tampuk pemerintahan kerajaan Melayu Johor pada ketika itu. Dalam penulisan Tuhfat Al-Nafis, pengarang cuba menyatakan bahawa setiap kali campur tangan, Opu Bugis Lima Bersaudara berjaya menyelesaikan masalah perebutan takhta antara dua pihak yang bersengketa. Sebagai contoh, pengarang ada menceritakan Opu Bugis Lima Bersaudara membantu Sultan Muhammad Zainuddin untuk mendapatkan takhta pemerintahan kerajaan Matan yang sebelum ini dikuasai oleh Pangeran Agung.

            Pada awal teks ini lagi, kita dapat meneliti betapa biasnya Raja Ali Haji dalam mengarang Tuhfat Al-Nafis. Ini dapat dibuktikan dengan caranya mengungkap hal-hal yang berkaitan dengan Raja Kecil dan Opu Bugis Lima Bersaudara. Seperti yang diketahui umum, Raja Kecil merupakan musuh utama kepada Opu Bugis Lima Bersaudara. Oleh sebab itu, kita dapati bahawa Raja Ali Haji seboleh mungkin memberi gambaran yang negatif terhadap Raja Kecil. Perkara ini dapat diteliti melalui bahagian-bahagian yang diperihalkan oleh Raja Ali Haji dalam teks ini, misalnya:

Adalah  Encik Pong itu dipakai memeng oleh baginda itu, telah bunting memeng, konon. Waktu baginda mangkat, orang-orang tengah bergadukan hal baginda. Maka Encik Pong dilarikan oleh Panglima Bebas, dibawahnya ke Pagar Ruyung, kepada puteri Janilan, lalu Encik Pong beranak di situ, iaitu laki-laki...”
            Jika dilihat secara sepintas lalu, sememangnya petikan di atas tidak banyak memberi kesan yang negatif kepada Raja Kecil. Maka dengan itu, kita dapati untuk mencapai motifnya, Raja Ali Haji cuba memberi gambaran seterusnya tentang asal-usul Raja Kecil dalam situasi yang lebih buruk. Oleh itu, dalam teks ini beliau menyebut:

“Tatkala baginda mangkat, zakarnya berdiri. Maka tidak ada orang yang berani menanam baginda itu. Maka mesyuaratlah segala menteri apa sebab pekerjaan itu, sangat ajaib. Maka kata daripada isi istana: Adalah baginda tengah berahikan Encik Pong itu, maka baginda itu pun mangkat. Maka takbir segala menterinya (yang) baginda itu takut tiada meninggalkan anak cucu yang bangsa daripadanya. Maka disuruhnya orang besar-besar itu akan Encik Pong itu setubuh dengan baginda itu konon, pada ketika itu. Maka apabila selesai baharulah rebah zakar baginda itu. Maka Encik Pong pun buntinglah konon.”

Dalam masa yang sama, kecenderungan Raja Ali Haji dapat dilihat dengan jelas, apabila beliau memerihalkan latar belakang Opu Bugis Lima Bersaudara. Keadaan ini bertujuan memberi gambaran kepada para pembaca bahawa Opu Bugis  berasal daripada keturunan yang baik-baik berbanding dengan Raja Kecil. Dengan cara ini Raja Ali Haji berharap para pembaca akan memberi persepsi yang positif kepada kaum Bugis. Maka tidak hairanlah, perihal-perihal yang baik-baik sahaja diberikan kepada Opu Bugis Lima Bersaudara dalam Tuhfat al-Nafis. Contohnya:

“Adalah puteranya (Tendari Burung Daeng Ralaka) yang lima orang itu baik-baik belaka parasnya, serta dengan sikap pahlawannya. Akan tetapi Opu Daeng Celak yang tersangat baik parasnya, memberi ghairah hati perempuan-perempuan memandangnya...”

            Seterusnya, dalam menceritakan peristiwa perjanjian antara Bugis dengan Minangkabau untuk menyerang Johor-Riau, Raja Ali Haji juga telah memberi satu tafsiran atau gambaran yang berpihak kepada pihak Bugis. Beliau telah mengeksploitasi peristiwa ini untuk memberi kesan yang baik kepada Bugis. Hal ini demikian kerana, apabila kita melihat Hikayat Siak, sememangnya hikayat ini telah memberi kesan yang buruk kepada Opu Bugis Lima Bersaudara. Justeru itu, dalam memerihalkan semula peristiwa tersebut, Raja Ali Haji telah menggunakan peristiwa ini untuk menunjukkan bahawa pihak Raja Kecillah yang bersalah dalam peristiwa ini. Raja Ali Haji mengatakan (berdasarkan teks), Raja Kecillah yang sebenarnya telah berjumpa dengan Opu Bugis Lima Bersaudara untuk melanggar Johor. Akan tetapi, pihak Bugis telah menolak pelawaan tersebut kerana pada fikiran mereka, itu adalah tipu dan muslihat Raja Kecil sahaja. Justeru itu, Raja Ali Haji mengungkapkan dalam teks ini:


“Syahadan di dalam tengah-tengah bersiap akan alat peperangan itu maka Opu Bugis yang berlima beradik itu pun tibalah ke Bengkalis datang daripada mengembara. Maka berjumpalah ia dengan Raja Kecil. Maka Raja Kecil pun mengajaklah ia melanggar negeri Johor, maka tiada ia mahu. Maka didalihkannya hendak ke Langat dahulu, mencari muafakat dengan Bugis yang di Langat itu. Maka tiadalah jadi bantu membantu itu.”


            Di dalam episod bantuan Bugis kepada Johor-Riau untuk mengalahkan Raja Kecil, Raja Ali Haji telah menyebut kisah ini agar ianya berpihak kepada Bugis. Maka berkatalah ia:


“Maka menjawablah Opu Dahing Parani, ‘Seperti saya semua adik-beradik sama saja yang patut kepada hati baginda Sultan Sulaiman saya terimalah, akan tetapi yang saya seorang, tiada saya mahu jadi raja kerana saya ini yang tua sekali, tiada lain hanyalah mencari ketetapan saudara saya yang berempat ini.’ Maka menjawab pula Opu Dahing Menambu, ‘Saya ini tiada sanggup menjadi Yang Dipertua Muda di tanah barat ini, kerana saya sudah berjanji dengan Sultan Mantan akan memelihara akan negeri Mempawa, tiadalah saya mahu mengecilkan hati mertua saya itu.’ Maka menjawablah Dahing Celak , ‘Saya ini selagi ada abang saya ini, iaitu Kelana Jaya Putera, tiada saya mahu menjadi Yang Dipertua Muda.’ Maka menjawablah Opu Dahing Kemasi, ‘Adapun saya ini tada berhajat menjadi Yang Dipertua Muda di tanah barat kerana jauh amat dengan Bugis, bersalahan  jikalau seperti di Mantan dan Sambas itu mana kemuafakatan abang-abang sayalah.’ Menjawab pula Kelana Jaya Putera, ‘Adapun saya jikalau bercerai dengan saudara-saudara saya, tiada saya mahu menjawab Yang Dipertua Muda di tanah barat ini.’ Demikianlah kata sekalian Opu-opu Bugis itu.”         


            Dengan melihat petikan di atas, Raja Ali Haji telah sedaya upaya cuba memberi satu gambaran yang baik kepada Opu Bugis Lima Bersaudara berhubung dengan kedatangan mereka ke Johor khasnya dan Tanah Melayu, umumnya. Lantaran itu, tidak hairanlah apabila Raja Ali Haji mengarang satu bentuk petikan yang menunjukkan bahawa Opu Bugis Lima Bersaudara bukannya gilakan atau mahukan kuasa. Sebaliknya ianya telah diberi sukarela oleh Sultan Sulaiman. Namun demikian penipuan Raja Ali Haji tidak dapat disembunyikan apabila kita melihat petikan seperti berikut:

“….Berjanji Raja Sulaiman dengan Opu-opu itu, salah satu Opu-opu itu menjadi Yang Dipertua Muda turun-tumurun.”

Perjanjian ini sebenarnya adalah perjanjian yang dibuat atas permintaan Opu Bugis Lima Bersaudara tersebut. Oleh itu, kecondongan atau bais Raja Ali Haji amat jelas sekali beliau memutar belitkan fakta yang dibuat oleh Opu Bugis itu sendiri.
            Seterusnya, pengarang juga dilihat kurang objektif apabila pengarang cuba menyatakan bahawa suku kaum Melayu ada menyimpan perasaan dengki terhadap kaum Bugis yang dikatakan rapat dan baik dengan Sultan Sulaiman. Pengarang cuba mempengaruhi pembaca dengan menyatakan kaum Melayu tidak baik dan tidak menyebelahi mereka secara halus melalui penulisannya. Hal ini dapat dibuktikan apabila pengarang menyatakan kaum Melayu termasuk Raja Terengganu dikatakan membuat fitnah terhadap kaum Bugis untuk menghalau mereka daripada terus tinggal di Johor-Riau. Pada hakikatnya, Bugis mempunyai agendanya yang tersendiri. Mereka bukanlah golongan yang berpengaruh seperti yang disangkakan. Oleh itu, pengarang menerapkan sentimen kebugisan kerana pengarang sendiri berketurunan Bugis.
            Walaupun, penulisan Tuhfat Al-Nafis mempunyai kecondongan tetapi berdasarkan penulisan pengarang, terdapat juga keobjektifan dalam Tuhfat Al-Nafis. Hal ini dapat dilihat apabila penulis menghuraikan tarikh yang tepat bagi segala peristiwa kelahiran, kemangkatan dan pertabalan. Ini adalah keobjektifan yang sebenar. Pengarang juga ada menghuraikan tentang tarikh kemangkatan Sultan Mahmud.


“Syahadan apabila baginda itu mangkat maka segala orang-orang besar negeri Johor pun mengangkatlah akan Datuk Bendahara menjadi Raja Johor. Adalah mangkatnya pada Hijrah sanat 1111 pada bulan Safar, hari Jumaat dan menggantikan kerajaanlah Bendahara Tun Habib, pada delapan hari bulan Rabiul Awal, hari Khamis, waktu loha dan Raja Sulaiman pun lahir ke dunia pada waktu itu.”

            Oleh hal yang demikian, jelas menunjukkan pengarang menggunakan sumber yang benar dalam penulisannya tanpa condong kepada mana-mana pihak. Selain daripada sistem pentarikhan, penggunaan ‘aku’ dalam penulisan pengarang adalah objektif. Hal ini demikian kerana, pengarang berada ditempat kejadian dan mengalami sendiri kejadian tersebut. Di samping itu, ia menunjukkan peristiwa itu berlaku di depan mata pengarang sendiri. Situasi ini dapat dilihat apabila pengarang sendiri menyatakan:


“Demikianlah khabar dari orang tua entahkah apa ertinya aku pun tak tahu. Wallahua’lam mana-mana aku lihat dan aku dengar dan aku lihat dalam sejarah itulah yang aku suratkan.”

            Begitulah yang digambarkan oleh penulis tentang kejadian yang berlaku ketika pengarang berada di tempat kejadian.

Pantun Melayu: Bingkisan Permata

 Karya ini menghimpunkan 4000 pantun, puisi istimewa ciptaan orang Melayu. Buku ini memuatkan pelbagai jenis dan bentuk pantun yang meliputi tema dan isi yang luas dan pelbagai. Edisi ini juga menyediakan tiga jenis indeks, iaitu Indeks Baris Pertama, Indeks Maksud dan Indeks Kata Rujuk untuk memudahkan pengguna membuat rujukan.

Latar Belakang Penyelenggara Pantun Melayu: Bingkisan Permata

Sumbangan Harun Mat Piah dalam pengkajian dan penyelidikan sastera banyak mengarah kepada sastera dan budaya tradisional. Buku-buku, makalah dan kertas-kertas kerja persidangan yang dihasilkan adalah hasil daripada penyelidikan-penyelidikan yang teliti dan bersifat akademik serta sistematik bentuknya. Beliau adalah antara tokoh yang berwibawa dalam kesusasteraan Melayu lama, khususnya puisi Melayu tradisional.
            Anak bongsu daripada lima adik-beradik ini berasal dari Perak dan pendidikan awalnya diterima dari sekolah Melayu, sebelum melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim (1955-1957). Dengan mengikuti kelas-kelas persendirian di sekolah Inggeris, Harun berjaya memperoleh sijil-sijil MCE (Malaysia Certificate of Education, 1961) dan HSC (Higher Certificate of Education, 1996). Seterusnya, beliau melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Bahasa (1963), Maktab Perguruan Ilmu Khas (1965) dalam bidang seni dan kraftangan. Pada tahun 1967, Harun memasuki Universiti Malaya dan tiga tahun kemudian memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang linguistik.
            Setelah tamat pengajian universiti, Harun bertugas sebagai Pengetua Sekolah Menengah Inggeris Kuala Kubu Baharu, tetapi khidmatnya tidak lama di situ. Beliau berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana di Universiti Malaya dan pada tahun 1973, beliau meraih ijazah tersebut dalam bidang kesusasteraan klasik. Selepas itu, Harun menerima Biasiswa British Commonwealth Universities untuk melanjutkan pengajian di School of Oriental and African Studies, University of London (1972-1975). Dalam tempoh tersebut beliau berpeluang membuat penyelidikan di pusat-pusat manuskrip Melayu di Eropah.
            Sekembalinya ke tanah air, Harun bertugas sebagai pensyarah di Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu dan Institut Alam dan Tamadun Melayu di Universiti Kebangsaan  Malaysia. Pada tahun 1981, Harun berjaya mendapat Ijazah Ph.D dari Universiti Kebangsaan Malaysia melalui disertasinya, “Puisi Melayu Tradisional: Satu Pembicaraan Genre dan Fungsi.” Penyelidikan untuk tujuan itu mengambil masa lebih daripada liam tahun yang melibatkan 750 buah kampung dan sekitar 10000 responden. Penyelidikannya dianggap cukup autoritatif dalam bidang pengkajian puisi Melayu tradisional.
            Sepanjang tahun 1984, Harun bertugas sebagai Asian Scholar-in-Residence di Universiti Michigan, Ann Arbor, Amerika Syarikat di bawah Rancangan Pertukaran Sarjana-sarjana Fulbright. Antara jawatan lain yang diterimanya ialah Timbakan Pengarah Institusi Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan (IBKKM), Ketua Jabtan Pengajian Melayu dan Profesor Madya di Universiti Kebangsaan Malaysia. Harun bersara pada awal tahun 1990 untuk bertugas sebagao penyarah kanan di Universiti Brunei Darussalam dan kemudiannya sebagai Ketua Jabatan Kesusasteraan Melayu di universiti tersebt. Harun bersara dari jawtannya pasa akhir tahun 1977. Kini, beliau melibatkan diri dalam penerbitan karya agung bersama Yayasan Karyawan Malaysia.
            Dalam bidang penulisan, Harun menumpukan pengkhususan kepada sastera klasik selain budaya tradisi dan memberikan sumbangan dalam pengkajian tradisi lisan, permainan-permainan kesenian seperti gamelan. Semasa di maktab, beliau pernah memenangi peradua-peraduan mengarang esei, cerpen dan drama menggunakan nama Hasrum Syam dan Har. Harun juga pernah memenangi peraduan syarahan, perbahasan dan berbalas pantun selain menyertai aktiviti muzik pancaragam. Pada tahun 1983, beliau memenangi Hadiah Sastera Malaysia bagi kategori esei bersama Prof. Muhammad Haji Salleh. Mungkin kerana minatnya lebih tertumpu kepada sastera tradisional dan penulisan akademik yang lebih serius, menyebabkan bajat kreatifnya tidak dikembangkan.
            Dalam aktiviti akademik dan sosial, Harun pernah mengasas dan memimpin persatuan-persatuan belia dan kebajikan masyarakat. Beliau pernah menjadi Setiausaha dan kemudian Pengerusi Persatuan Pengajian Melayu Malaysia pada tahun 1983 dan 1985 hingga 1990. Dengan keahliannya itu, beliau sering dilantik sebagai pakar rujuk sastera klasik.


Definisi Pantun

Pantun merupakan puisi Melayu yang popular jika berdasarkan daripada penggunaannya yang paling meluas. Bukan itu sahaja, puisi ini juga yang paling mendapat perhatian para pengkaji untuk diteliti, tidak kira pengkaji tempatan ataupun pengkaji luar. Pantun juga merupakan puisi Melayu yang tidak diragukan sifat keasliannya. Dalam bahasa Jawa, pantun dikenali sebagai ‘parikan’ dan dalam bahasa Sunda dikenali sebagai ‘paparikan’.
            Harun Mat Piah (1989) telah memberikan definisi pantun berdasarkan aspek dalama dan luaran atau struktur visialnya. Aspek dalama pantun meliputi unsur estetik dan isi (tema dan persoalan). Unsur estetik pantun dapat dilhat berdasarkan dua aspek. Pertama, yang berkaitan penggunaan lambang-lambang tertentu yang terdapat dalam pantun mengikut tanggapan dan pandangan dunia masyarakat Melayu dan yang kedua, berdasarkan hubungan makna antara pasangan pembayang dengan pembanyang maksud sama ada secara konkrit atau abstrak.
            Berdasarkan pada aspek isi (tema dan persoalan) pantun biasanya menyentuh hampir seluruh kehidupan masyarakat Melayu. Daripada penelitian terhadap isi juga telah membawa kepada pengelompokan pantun yang lebih sistematik (Harun Mat Piah, 1989:63) seperti pantun kanak-kanak, pantun puji-pujian atau sambutan, pantun nasihat dan pendidikan, pantun agama dan kepercayaanm pantun adat, pantun peribahasa, pantun naratif atau cerita dan sebagainya.

Ciri-ciri Pantun

1.      Rangkapnya berasingan dan boleh berdiri sendiri sebagai satu kesatuan idea.

2.      Rangkapnya terbina daripada baris atau kerat yang berpasangan misalnya dua kerat, empat kerat, enam kerat, lapan kerat dan seterusnya. Namun, pantun yang popular dan terus berkembang adalah pantun empat kerat dan dua kerat.

3.      Jumlah perkataan setiap baris sekitar tiga hingga lima patah perkataan.

4.      Jumlah suku kata dalam setiap baris sekitar lapan hingga dua belas suku kata.

5.      Skima rima di tengah dan/atau di hujung baris adalah bersejajar berselangan, iaitu ab;ab. Ada juga skima rima yang sama, iaitu aa;aa.

6.      Struktur pantun terdiri daripada dua unit, iaitu pembayang (yang menjadi kiasan) dan maksud (yang menjadi inti persoalan) yang hendak disampaikan. Pembayang adalah adalah gambaran alam dan maksud adalah gambaran sifat dan sikap manusia.

7.      Setiap rangkap memiliki kesatuan idea yang lengkap.

8.      Pemilihan perkataan merujuk kepada lambang yang sesuai dengan norma, nilai dan tanggapan masyarakat setempat.

9.      Pantun yang baik mempunyai hubungan idea dan wacana antara unit pembayang dan unit maksud.

Fungsi Pantun dalam Masyarakat Melayu

Pantun Melayu terdiri daripada beberapa jenis pantun seperti pantun adat, agama, nasihat, jenaka, budi dan teka-teki. Setiap pantun yang dicipta mempunyai fungsi atau kegunaannya sendiri. Dalam masyarakat Melayu, pantun merupakan satu corak komunikasi berseni yang digunakan di tempat yang tertentu, dalam upacara yang tertentu atau untuk menyampaikan sesuatu dalam maksud kiasan atau sindiran. Penggunaan pantun dalam menyampaikan sindiran bertujuan agar yang kena sindir atau yang kena nasihat itu tidak marah, sebaliknya mempunyai azam untuk membaiki perbuatan dan perangai yang tidak disukai.
            Seseorang yang akan menyampaikan dan melafazkan pantun diingatkan supaya memerhatikan isi pantun. Keadaan pantun yang dilafaz menjadi pertimbangan dalam penyampaian isi pantun. Jika hal ini tidak diberi perhatian oleh seseorang yang melafazkan pantun, dikhuatiri akan menimbulkan salah faham kepada pendengar terutama pantun yang berkaitan sindiran dan nasihat. Begitu juga jika melafazkan pantun yang berkaitan dengan budi dan jenaka. Cara melafazkan pantun harus dijaga agar maksud atau tujuan sesuatu pantun itu dilafazkan sampai kepada pendengar. Sesungguhnya, pantun Melayu yang dicipta oleh masyarakat Melayu dahulu mempunyai pelbagai fungsi. Antara nilai yang terdapat dalam Pantun Melayu: Bingkisan Permata selenggaraan oleh Harun Mat  Piah, ialah:

  i.            Mendidik
Masyarakat Melayu terutamanya golongan tua, kaya dengan pelbagai nasihat. Sebagai golongan yang ‘makan garam’ terlebih dahulu pastinya mereka mempunyai pelbagai pengalaman hidup dan amat peka terhadap perubahan sesuatu perkara. Justeru, jika mereka mendapati ada sesuatu perkara yang tidak kena atau bertujuan untuk memberi peringatan kepada golongan muda atau kanak-kanak, mereka akan menggunakan pantun sebagai alat untuk menyampaikan nasihat dan didikan. Contohnya:
Air melurut di tepian mandi,
Kembang berseri bunga senduduk;
Elok diturut resmi padi,
Semakin berisi semakin tunduk.
            Selain pantun nasihat, pantun agama juga dicipta oleh masyarakat dahulu untuk tujuan mendidik. Pantun agama yang dicipta selalunya memberi peringatan dan pedoman kepada semua lapisan masyarakat agar tidak tersasar ke jalan yang salah. Contohnya seperti pantun Melayu lama ini:
Sungguh indah pintu dipahat,
Burung puyuh di atas dahan;
Kalau hidup hendak selamat,
Taat selalu perintah Tuhan.


ii.            Meluahkan Rasa Kasih Sayang
Pantun Melayu juga digunakan untuk meluahkan perasaan kasih sayang dalam kalangan masyarakat Melayu tanpa kira batasan sama ada rasa sayang teruna kepada dara, suami kepada isteri atau anak kepada ibu dan bapa. Pantun-pantun sebegini akan disulami dengan kata-kata yang indah, berbunga-bunga, puji-pujian yang menggambarkan perasaan kasih, sayang, cinta dan rindu yang mendalam. Misalnya:
Ribu-ribu pokok mengkudu,
Cincin permata jatuh ke ruang;
Kalau rindu sebut namaku,
Air mata jangan dibuang.
            Pantun di atas menggambarkan nasihat orang yang melafazkan pantun kepada pasangannya yang kerinduan tidak kira sama ada pasangan kekasih atau suami isteri atau anak kepada ibu bapanya.

 iii.         Menyampaikan Rasa Penghargaan
Masyarakat Melayu juga terkenal sebagai masyarakat yang tahu mengenang budi dan jasa. Oleh itu, kita dapat lihat banyak pantun Melayu yang dicipta untuk menyampaikan rasa penghargaan dan terima kasih kepada orang-orang yang telah berjasa atau berbudi. Antara pantun yang popular sehingga sekarang ialah:
Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti;
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.
Rangkap pantun di atas memperlihat masyarakat Melayu zaman dahulu memandang tinggi orang yang berbudi lebih daripada segalanya.

 iv.      Adat Istiadat
Masyarakat Melayu sememangnya mementingkan adat istiadat dalam kehidupan sehari-hari. Oleh itu, pantun juga memainkan peranan yang penting dalam upacara yang melibatkan adat istiadat. Dalam majlis merisik, bertunang sehinggalah majlis perkahwinan, pantun akan dilafazkan sebagai mukadimah atau pembuka kata sebagai tanda meminta kebenaran atau untuk menyampaikan maksud di hati. Pantun-pantun sebegini dikenali sebagai pantun adat.  Sebagai contoh, dapatlah kita lihat dalam pantun Melayu lama di bawah ini yang kerap kali dilafazkan dalam majlis merisik sehingga kini:
Tok Sami ke Teluk Lipat,
Kain sekodi dibawa sama;
Datang kami membawa hajat,
Kalau sudi minta terima.

v.         Sindiran
Pantun juga digunakan oleh masyarakat Melayu untuk menggambarkan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu dengan bahasa yang berselindung atau dengan kata lain secara tidak berterus terang. Melalui pantun, masyarakat Melayu dapat menyembunyikan perasaan sebenar sama ada kesal, kecewa dan dukacita terhadap sesuatu dengan penyusunan kata-kata yang indah. Hal ini bertujuan mengelakkan berlakunya pertelingkahan dan akhirnya mencetuskan pergaduhan antara mereka. Contohnya:
Buah langsat kuning mencelah,
Senduduk tidak berbunga lagi;
Sudah dapat gading bertuah,
Tanduk tidak berguna lagi.



 vi.         Menguji Minda
Pantun juga dicipta untuk tujuan mencabar ketangkasan fikiran. Pantun-pantun sebegini amat digemari ramai terutama golongan kanak-kanak. Pantun yang menguji minda ini dinamakan pantun teka-teki. Antara contoh pantun Melayu lama yang masih diingati ialah:
Kalau tuan pergi ke kedai,
Belikan saya buah keranji;
Kalau tuan bijak pandai,
Apakah binatang keris di kaki?

  vii.      Hiburan
Pantun juga dicipta oleh masyarakat Melayu untuk tujuan hiburan. Pada zaman dahulu, masyarakat Melayu akan berhibur dengan melafazkan pantun-pantun bersifat jenaka atau mengusik. Misalnya:
Tuan Puteri memasang panjut,
Dayang tolong menghalau lalat;
Kucing tidur bangkit terkejut,
Melihat tikus pandai bersilat.
            Ada juga pantun yang dijadikan lagu untuk hiburan seperti lagu ‘Dondang Sayang’ yang popular dalam kalangan Baba Nyonya.