Friday 15 March 2013

PRINSIP KESEMPURNAAN BERBAHASA DALAM KARYA AGUNG DUNIA I LA GALIGO

PRINSIP KESEMPURNAAN BERBAHASA DALAM KARYA AGUNG DUNIA
I LA GALIGO
PENULIS:
SURAYA BINTI SAPAR
DAYANG SITI NURAMALINA
UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS

ABSTRAK
Teori Falasafah Bahasa terhasil daripada kesepaduan Teori Relatif dan juga Teori Kenuranian  Bahasa. Kesempurnaan dalam berbahasa dapat dilaksanakan dengan mengambil kira tiga prinsip asas, iaitu yang pertama adalah berbahasa mengikut nahu supaya maksud yang hendak disampaikan mencapai objektifnya, yang kedua pula adalah berbahasa untuk menyampaikan maklumat atau fakta yang betul dan benar dan yang terakhir adalah berbahasa untuk tujuan ibadah ataupun mentauhidkan Allah. Budaya dan bahasa tidak dapat dipisahkan malahan menjadi bingkai untuk melihat pemikiran sesebuah masyarakat untuk berkomunikasi. Tambahan pula, kelangsungan hidup sesuatu bahasa sangat dipengaruhi oleh aturan yang terjadi dalam masyarakat penuturnya. Dengan ini, budaya yang ada di sekeliling bahasa tersebut akan turut terikut menentukan wajah dari bahasa tersebut.Selain itu, bahasa dan budaya juga merupakan dua sistem yang melekat pada manusia. Jikalau budaya tersebut adalah sistem yang mengatur interaksi manusia dalam masyrakat, maka kebahasaan adalah satu sistem yang berfungsi sebagai sarana atau alat berlangsungnya interaksi tersebut. Di samping itu, bahasa merupakan perantaraan dalam proses komunikasi manusia. Bahasa juga sebagai simbol komunikasi yang sangat berkait rapat dengan penggunanya. Pengguna pula amat berkait rapat dengan sistem budaya yang dianuti. Sistem budaya pula sangat berkaitan dengan sistem sosial masyarakat di tempat mereka berada. Bahasa dengan sifat kedinamikannya berkait rapat dengan interaksi pengguna, perlakuan, budaya dan juga persekitaran.

1.0              Pengenalan
Komunikasi atau berbahasa merupakan asas dalam kehidupan seseorang manusia. Selain itu, perkembangan bahasa merupakan sebuah proses yang bermula awal dalam kehidupan manusia, iaitu ketika seseorang mulai menguasai bahasa dengan belajar. Di samping itu, perkembangan bahasa anak-anak bermula dari yang sederhana sampai kepada yang kompleks. Namun demikian, dalam usia empat bulan, bayi boleh membaca bibir dan membezakan bunyi ujaran. Bahasa yang disebut bayi dikenali sebagai mengoceh.
            Komunikasi juga ibarat sebuah nadi dalam sesebuah organisasi yang menggerakkan fungsi pengurusan sesebuah organisasi. Tambahan pula, komunikasi juga menjadi medium penyebaran maklumat daripada seorang manusia kepada manusia yang lain. Oleh itu, sistem pengurusan organisasi mahupun masyarakat akan tergendala tanpa komunikasi. Pengurusan dan pentadbiran juga akan menjadi semakin cekap sekiranya semakin berkesan sistem komunikasi diamalkan.
            Selain itu, sistem komunikasi juga perlu melalui kaedah yang betul dengan etika yang baik untuk memastikan keberkesanannya sama ada komunikasi tersebut melalui saluran rasmi ataupun tidak rasmi. Ilmu komunikasi merupakan ilmu yang dipelajari oleh manusia supaya memudahkan seseorang menyampaikan apa-apa yang terkandung dalam fikirannya kepada orang lain. Di samping itu, manusia bukan sahaja menggunakan komunikasi ini hanya sebagai menyampaikan kepada manusia tetapi juga kepada haiwan. Walaupun binatang tidak dikurniakan akal fikiran seperti manusia, namun ia juga mudah memahami maksud yang disampaikan oleh manusia. Perkembangan komunikasi semakin berkembang dengan wujudnya alat-alat komunikasi seperti telefon, telegraf radio, dan alat-alat komunikasi yang lain.
            Terdapat tiga prinsip-prinsip asas dalam Teori Falsafah Bahasa, iaitu prinsip asas pertama dalam Teori Falsafah Bahasa adalah berbahasa mengikut nahu, yang kedua pula adalah berbahasa untuk menyampaikan maklumat yang benar dan prinsip yang ketiga adalah berbahasa untuk tujuan ibadat atau mentauhidkan Allah S.W.T.
            I La Galigo merupakan epik yang terpanjang di dunia dan wujud sebelum epik Mahabrata. I La Galigo mengandungi sebahagian besar puisi yang ditulis dalam bahasa bugis lama. Epik tersebut mengisahkan kisah Sawerigading, seorang pahlawan yang gagah berani dan juga perantau. Namun demikian, I La Galigo tidak boleh diterima sebagai teks sejarah kerana teks tersebut penuh dengan mitos dan peristiwa-peristiwa luar biasa.

2.0              Sinopsis I La Galigo
Epik ini dimulai dengan penciptaan dunia.  Merujuk kepada Sulawesi Selatan, ketika dunia ini masih kosong, dunia terbahagi kepada tiga kerajaan, iaitu kerajaan Alam Langit, kerajaan Alam Tengah dan kerajaan Alam Ghaib. Kerajaan Alam Langit dan Alam Ghaib telah mengadakan mesyuarat untuk melantik pemerintah di alam Tengah atau Raja Alekawa (Raja Bumi).  Raja Langit dikenali sebagai La Patingga, manakala Raja dari Alam Ghaib pula dikenali sebagai Guru Ri Selleng.
Hasil daripada mesyuarat itu, La Patingga bersetuju untuk menghantar anak lelakinya yang sulung, iaitu La Toge’ untuk menjadi Raja Alekawa (Raja Bumi) dan memakai gelaran Batara Guru. Guru Ri Selleng dari kerajaan alam ghaib pula bersetuju menghantar puterinya yang bernama We Nyili’ Timo ke Alam Tengah.  Mesyuarat tersebut diadakan bertujuan agar Raja Langit dan Raja Alam Ghaib mempunyai hamba yang dapat menyembah mereka, kerana mereka beranggapan bahawa mereka tidak akan menjadi raja atau dewi sekiranya tiada seorang pun yang menyembah mereka di dunia ini.
Oleh sebab La Patingga dan Guru Ri Selleng bersaudara, maka Batara Guru akhirnya berkahwin dengan sepupunya itu, iaitu We Nyili’ Timo semasa di Alam Tengah. Sebelum Batara Guru dinobatkan sebagai Raja di bumi, beliau perlu melalui ujian selama 40 hari 40 malam.  Tamat sahaja ujian itu, beliau diturunkan ke bumi dan dikatakan beliau turun di Ussu’, iaitu sebuah daerah di Luwu’ yang terletak di Teluk Bone. Kemudian, Batara Guru digantikan oleh anaknya yang bernama La Tiuleng dengan memakai gelaran Batara Lattu’.
Batara Lattu’ kemudiannya mendapat dua orang anak kembar, iaitu lelaki dan perempuan yang masing-masing bernama Sawerigading (Putera Ware’) dan We Tenriyabeng.  Kedua-dua kembar tersebut tidak dibesarkan secara bersama.  Diceritakan bahawa suatu hari, Sawerigading ditakdirkan jatuh cinta dengan kembarnya sendiri kerana menganggap We Tenriyabeng tidak mempunyai hubungan darah dengannya sehingga beliau ingin berkahwin dengannya.
Setelah beliau mengetahui bahawa perkara itu merupakan salah satu larangan, maka Sawerigading bertekad meninggalkan Luwu’ menuju ke negeri China dan bersumpah tidak akan kembali lagi.  Sepanjang perjalanannya ke kerajaan China, beliau telah berjaya mengalahkan beberapa pahlawan termasuklah pemerintah Jawa Wolio, iaitu Setia Bonga.  Setelah tiba di negeri itu, beliau telah berkahwin dengan Datu China yang bernama We Chudai yang dikatakan mirip dengan kembarnya.
Sawerigading digambarkan sebagai seorang kapten kapal yang sangat perkasa.  Antara tempat yang pernah dilawati oleh beliau ialah Taranate (Ternate di Maluku), Gima (Bima atau Sumbawa), Jawa Rilau’ dan Jawa Ritengnga ( kemungkinan Jawa Timur dan Tengah), Melaka dan lain-lain.  Kononnya juga, beliau pernah melawat syurga dan alam ghaib.  Antara pengikut beliau ialah terdiri daripada saudara-maranya dari pelbagai rantau.  Sepanjang rombongannya akan didahului dengan kehadiran tetamu yang pelik seperti orang bunian, orang berkulit hitan dan sebagainya.
Sawerigading merupakan ayahanda kepada I La Galigo yang memakai gelaran Datunna Kelling.  I La Galigo mempunyai perwatakan yang sama dengan ayahandanya, iaitu sebagai seorang kapten kapal, seorang perantau, pahlawan mahir dan perwira yang tiada bandingannya ketika itu.  Beliau juga digambarkan mempunyai empat orang isteri yang berasal dari pelbagai negeri.  Namun begitu, walaupun Sawerigading dan anakandanya itu terkenal dengan keperwiraaan dan keperkasaaan mereka, akan tetapi merreka tidak pernah dinobatkan sebagai raja.  Pemahkotaan anak lelaki I L a Galigo yang bernama La Tenritatta di Luwu’ merupakan penceritaan yang terakhir dalam epik ini. 

3.0              I La Galigo di Malaysia dan Riau
Kisah Sawerigading cukup terkenal dalam kalangan keturunan Bugis dan Makassar di Malaysia. Penceritaan tersebut dibawa sendiri oleh Bugis yang bermigrasi ke Malaysia. Terdapat juga unsur Melayu dan Arab yang serap sama.
            Pada abad ke-15, Melaka di bawah pemerintahan Sultan Mansur Syah diserang oleh Keraing Semerluki dari Makassar. Semerluki yang disebut ini berkemungkinan adalah Karaeng Tunilabu ri Suriwa, putera pertama kerajaan Tallo’, iaitu nama sebenarnya ialah Sumange’rukka’ dan beliau berniat untuk menyerang Melaka, Banda dan Manggarai.
            Perhubungan yang jelas muncul selepas abad ke-15. Pada tahun 1667, Belanda memaksa pemerintah Goa untuk mengaku kalah dengan menandatangani Perjanjian Bungaya. Dalam perjuangan tersebut, Goa dibantu oleh Arung Matoa dari Wajo’. Pada tahun berikutnya, kubu Tosora dimusnahkan oleh Belanda dan sekutunya La Tenritta’ arung Palakka dari Bone. Hal ini menyebabkan ramai Bugis dan Makassar bermigrasi ke tempat lain. Contohnya, serombongan Bugis tiba di Selangor di bawah pimpinan Daeng Lakkani. Pada tahun 1681, seramai 150 orang Bugis menetap di Kedah. Manakala sekitar abad ke-18, Daeng Matokko’ dari Paneki, iaitu sebuah daerah di Wajo’ menetap di Johor. Sekitar tahun 1714, dan juga 1716, adik beliau, iiatu La Ma’dukelleng, juga ke Johor. La Ma’dukelleng juga digelar sebagai ketua lanun oleh Belanda.
            Walaubagaimanapun, keturunan Opu Tenriburong memainkan peranan penting apabila mereka membuat penempatan di Kuala Selangor dan Klang. Keturunan ini juga turut dimahkotakan sebagai Sultan selangor dan Sultan Johor. Malahan, kelima-lima anak Opu Tenriburong memainkan peranan yang penting dalam sejarah di kawasan tersebut. Daeng Merewah menjadi Yang diPertuan Riau. Daeng Parani berkahwin dengan puteri-puteri Johor, Kedah, dan juga Selangor.

4.0       Prinsip Asas Pertama dalam Teori Falsafah Bahasa: Berbahasa Mengikut Nahu
Nahu atau tatabahasa merujuk kepada sistem atau susunan sesuatu bahasa. Bahasa terdiri daripada kumpulan ayat yang tidak terbilang jumlahnya. Berbahasa mengikut nahu merupakan prinsip pertama yang diketengahkan oleh Teori Falsafah Bahasa. Prinsip tersebut menegaskan betapa pentingnya kita berbahasa dengan betul mengikut nahunya. Proses komunikasi atau berbahasa perlu mengikut nahunya agar maklumat yang yang ingin disampaikan itu mencapai objektifnya.
            Antara elemen-elemen penting dalam sesebuah proses komunikasi atau berbahasa adalah terdiri daripada sumber, saluran, mesej, penerima, maklum balas, gangguan dan juga persekitaran. Bahasa merupakan suatu sistem. Hal ini membuktikan bahawa bahasa itu lengkap dan sempurna dari segi peraturan ataupun polanya.
            Selain itu, bahasa juga terdiri daripada sistem bunyi, sistem makna dan juga sistem tatabahasa. Bahasa yang digunakan dalam pertuturan dan juga penulisan sememangnya terikat dengan sistem tatabahasanya. Dalam sistem tatabahasa mahupun nahu, setiap perkataan perlu disusun dalam bentuk ayat yang sempurna dan memberi makna sebelum diucapkan ataupun ditulis.
            Di samping itu, penggunaan perkataan yang difahami umum (denotatif) juga amat penting agar pendengar dapat mentafsir makna dengan tepat. Penggunaan bahasa yang baik dan jelas akan meningkatkan keberkesanan penafsiran makna oleh pendengar. Oleh itu, jika kita berbahasa dengan menggunakan bahasa yang betul mengikut nahunya, mesej yang hendak disampaikan kepada individu lain akan dapat disampaikan dengan sempurna dan jelas.
            Perkongsian makna juga amat penting dalam berbahasa. Setiap individu khususnya pendengar perlu mempunyai pengetahuan untuk memahami mesej yang hendak disampaikan oleh penutur apabila sesuatu proses komunikasi lisan berlaku. Komunikasi merupakan proses apabila kedua-dua pihak yang terlibat membentuk dan berkongsi makna antara satu sama lain dengan tujuan untuk mencapai kesefahaman. Perkongsian di sini bermaksud perkongsian makna terhadap sesuatu isyarat yang ingin digunakan oleh penutur dan juga pendengar dalam suatu proses komunikasi. Sesuatu isyarat, maklumat mahupun bahasa mungkin memberi makna yang berbeza antara penutur dengan pendengar.
            Selain itu, komunikasi yang baik akan berlaku sekiranya penutur dan pendengar bersetuju dengan penggunaan sesuatu bahasa dan bahasa tersebut dapat difahami dengan baik oleh kedua-dua pihak. Namun demikian, masalah akan berlaku dalam komunikasi sekiranya timbul masalah perbezaan persekitaran setiap individu seperti budaya, adat resam, sikap, pendidikan dan juga nilai. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya manusia berbahasa dengan betul agar mesej yang ingin disampaikan kepda setiap individu dapat dicapai objektifnya.
            I La Galigo merupakan sebuah sejarah mitos penciptaan dari peradaban Bugis di Sulawesi Selatan (sekarang bahagian dari Republik Indonesia) yang ditulis di antara abad ke-13 dan juga abad ke-15 dalam bentuk puisi bahasa Bugis kuno, ditulis dalam huruf Lontara kuno Bugis. Versi bahasa Bugis asli I La Galigo sekarang hanya dapat difahami oleh kurang seratus orang. Hanya sebahagian sahaja daripada teks I La Galigo yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia dan tidak ada versi lengkap dalam bahasa Inggeris. Namun demikian, terdapat sebuah buku yang menceritakan I La Galigo secara ringkas dengan menggunakan dwibahasa, iaitu bahasa Indonesia dan juga bahasa Inggeris. Buku tersebut bertajuk ‘The Birth of I La Galigo’. Walaupun buku tersebut menggunakan bahasa Indonesia, namun pembaca dapat memahami isi kandungan buku tersebut. Mesej yang ingin disampaikan melalui buku tersebut juga tercapai kerana dapat difahami oleh pembaca. Buku tersebut juga turut menceritakan cara Sawerigading dalam mendapatkan I We Cudai. Berikut merupakan petikan yang terdapat dalam buku tersebut:
“Bagian yang konon paling digemari oleh masyarakat Bugis adalah yang mengungkapkan bagaimana Sawerigading berusaha mendapatkan I We Cudai. Putri yang sangat jelita dari Alecina ini mula-mula tidak mau dan merasa malu menerimanya sebagai suami tetapi karena kalah perang akhirnya terpaksa talkuk juga, dengan syarat yang hampir tidak mungkin dilaksanakan oleh Sawerigading. Namun dengan bantuan dua ekor kucing, Sawerigading berhasil menggauli I We Cudai dan mendapatkan anak, meskipun dalam proses hubungan mereka itu keduanya tak pernah saling melihat karean I We Cudai sebenarnya malu diperistri Sawerigading. Di atas tempat tidur yang gelap gulita, yang dikelilingi tujuh lapis kelambu, dilingkari tujuh lapis dinding, dijaga oleh sejumlah besar punggawa, Sawerigading berhasil melaksanakan tugasnya sebagai suami...”
“I We Cudai merasa sangat malu ketika mengidam dan kemudian melahirkan; bahkan tidak mau melihat anaknya sendiri. Anak yang baru lahir itu pun diperintahkannya untuk dibuang atau dibunuh, namun madunya dengan bangga dan setia mengurus anak tirinya sehingga besar dan perkasa. Anak itu adalah I La Galigo, yang sesudah dewasa bertemu dengan ibunya yang sejati, yang terpesona oleh kecakapan dan keperkasaannya. I We Cudai akhirnya juga menerima Sawerigading sebagai suaminya...”
(The Birth of I La Galigo, 2005:14)
Berdasarkan petikan tersebut, mesej yang ingin disampaikan kepada pembaca tercapai walaupun bahasa yang digunakan adalah bahasa Indonesia. Bahasa yang yang digunakan adalah mudah dan dapat difahami oleh pembaca, iaitu mengisahkan tentang kelahiran I La Galigo. Ha ini bermakna terjemahan teks I La Galigo ke dalam bahasa Indonesia memudahkan pembaca dapat mengetahui serba sedkit mengenai sejarah I La Galigo. Perkataan yang digunakan dalam buku tersebut juga adalah mudah dan tidak sukar untuk mengetahui maknanya. Oleh itu, walaupun terjemahan teks I La Galigo ke dalam bahasa Melayu belum pernah dilakukan, namun bahasa Indonesia yang mudah digunakan dapat menyampaikan mesej kepada pembaca tentang sejarah I La Galigo. Justeru itu, perkataan yang mudah digunakan serta bahasa yang dapat difahami oleh pembaca memudahkan peyampaian mesej berlaku kepada pembaca.
http://t1.gstatic.com/images?q=tbn:ANd9GcR6H3tPSGHt8emu2qfAq3Ikbs-CnLAxHx6o_Zwx_stFewAnv7Ao
Gambar 1: Tulisan Lontara
http://sudewi2000.files.wordpress.com/2008/10/naskah-la-galigo-3-foto-nurhayati-rahman.jpg
Gambar 2: Tulisan Lontara dalam teks I La Galigo
http://d.gr-assets.com/books/1267806276l/7819851.jpg
Gambar 3: Muka depan buku ‘The Birth of I La Galigo’


5.0       Prinsip Asas Kedua dalam Teori Falsafah Bahasa: Berbahasa untuk Menyampaikan Maklumat yang Benar
Teori Falsafah Bahasa ini turut menitikberatkan bahawa tujuan berbahasa adalah untuk menyampaikan maklumat yang benar dan betul. Hal yang demikian ini selari dengan firman Allah S.W.T yang dipetik oleh Mohd Rashid Md Idris (2012:70) yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang benar.”
                          (Surah Al-Ahzab 33:70)
Sesuatu maklumat yang disampaikan tidak hanya berlandaskan kepada kepercayaan dan emosi semata-mata.  Seseorang itu hendaklah menyampaikannya berlandaskan penaakulan yang tepat, sahih dan boleh dipercayai.  Hal yang demikian bertujuan untuk mengelakkan maklumat tersebut tidak bercanggah dengan fakta sebenar selain menghindarkan diri dari melakukan fitnah.
Dalam agama Islam, setiap umat Islam diajar supaya mengkaji atau menyelidik terlebih dahulu maklumat yang diterima sebelum disampaikan dan tersebar dalam kalangan masyarakat.  Perkara ini mengkehendaki seseorang itu untuk menggunakan perkataan yang tepat, jelas dan mudah difahami oleh orang lain.
Karya sastera merupakan sebuah karya yang dicipta atau dilahirkan daripada sebuah pembentukan realiti yang diolah menjadi realiti yang mungkin dapat dipercayai atau sebaliknya.  I La Galigo merupakan sebuah karya sastera yang lahir daripada pembentukan realiti dengan dunia ideal yang diyakini kebenarannya.  Hal yang demikian ini disebabkan oleh karya tersebut telah menjadi pegangan kepada kehidupan masyarakat Bugis sejak dahulu lagi.
Pada asasnya, masyarakat Bugis merupakan salah satu komuniti yang mempunyai struktur masyarakat yang sangant spesifik.  Ciri-ciri kebudayaan masyarakat tersebut juga masih kekal dan dapat ditelurusi jejaknya dari zaman lampau sehinggalah kini.  Kenyataan ini terbukti berdasarkan peninggalan-peninggalan bertulis yang terdapat di dalam karya I La Galigo.
Setiap peristiwa dan penceritaan tokoh-tokoh dalam Galigo merupakan gambaran kehidupan sebenar masyarakat awal Bugis.  Hal yang demikian ini menandakan bahawa karya sastera ini bukan sahaja memiliki nilai estetikanya yang tinggi, malah masyarakat lain yang membaca karya ini mengetahui keadaan yang merangkumi kepercayaan, adat dan budaya masyarakat Bugis.  Perkara ini bertepatan dengan prinsip falsafah bahasa yang menekankan berbahasa untuk menyampaikan maklumat benar.
Selain itu, karya agung Bugis ini juga menyampaikan maklumat mengenai sejarah awal Bugis.  Menurut La Galigo, kerajaan pertama Bugis ialah Wewang Nriwuk, Luwu’ dan Tompoktikka.  Luwuk mendapat kedudukan yang istimewa kerana beliau dianggap sebagai ketua Bugis.  Namun begitu, pada abad ke-15, berlaku perubahan di dalam sosio-politik, ekonomi dan agama kerana berlakunya migrasi penduduk.
Penanaman padi sawah, pembuatan besi dan penggunaan kuda mula diperkenalkan dalam bidang ekonomi ketika itu.  Adat membakar mayat di sesetengah kawasan atau tempat turut diamalkan, iaitu dari sudut agama.  Pada akhir abad ke-15, telah muncul beberapa kerajaan baru yang menentang kerajaan Luwu’.  Misalnya, Gowa (Makassar), Bone dan Wajo’. Kematian seorang raja Luwu’, iaitu Dewaraja menyebabkan berlakunya perebutan dinasti untuk memerintah Tanah Ugi’.  Dikatakan bahawa Gowa bersekutu dengan Bone menawan Luwuk dan akhirnya berpengaruh besar terhadap Sulawesi Selatan.
Di samping itu, La Galigo menyimpan segala budaya dan peradaban manusia Bugis yang kedudukannya tinggi dan besar sifatnya yang pernah wujud dalam sejarah, kebudayaan dan tamadun Bugis. Jika dilihat tertulis di dalam La Galigo mengenai kebudayaan masyarakat Bugis yang gemar berlayar, merantau dan berdagang.  Kenyataan ini terbukti daripada perwatakan Sawerigading dan anakandanya, iaitu I La Galigo yang terkenal sebagai kapten kapal yang gagah.
Dikisahkan bahawa sepanjang pelayaran dan perantauan, mereka telah berkenalan dan berkomunikasi dengan dunia luar sehingga memungkinkan lahirnya wawasan yang luas.  Dengan erti kata lain, memberi peluang kepada mereka untuk mencipta pembaharuan terhadap kehidupan masyarakat tersebut.  Oleh itu, kemampuan masyarakat Bugis dalam mencipta perahu, rumah, hukum pelayaran Amanna Gappa dan sebagainya dapat diketahui melalui karya ini.
Tambahan pula, penyampaian I La Galigo membenarkan masyarakat lain mengetahui aktiviti perdagangan masyarakat awal Bugis.  Sejak berabad-abad yang lalu, masyarakat Bugis telah menjelajahi hampir keseluruhan pelusuk Nusantara, Australia, Filipina, China dan Madagaskar. Sebahagian kecil mengenai aktiviti dagangan ini disebutkan di dalam karya terpanjang ini.  Mereka dikatakan membawa dagangan yang berupa hasil laut, emas dan besi.

6.0       Prinsip Asas Ketiga dalam Teori Falsafah Bahasa: Berbahasa untuk Tujuan Ibadat atau Mentauhidkan Allah S.W.T
Terdapat pelbagai cara untuk kita beribadat kepada Tuhan selaku pencipta dunia ini.  Sebarang pekerjaan yang disertakan dengan niat kerana Allah merupakan salah satu cara kita beribadat kepada Allah selain menunaikan solat fardhu, puasa dan sebagainya.  Berbahasa juga merupakan sebahagian daripada cara untuk kita beribadat.
Menurut Mohd Rashid Md Idris (2012:72), komunikasi yang berkesan melibatkan semua bentuk hubungan antara manusia dengan segala bentuk keperluannya.  Terdapat tiga jenis hubungan, iaitu hubungan manusia dengan Allah S.W.T (hablum minallah), hubungan antara manusia dengan manusia (hablum minannas) dan hubungan manusia dengan alam sekitar.
Hubungan manusia dengan pencipta-Nya dikenali sebagai komunikasi menegak kerana Tuhan dilihat sebagai tunjang kepada segala proses komunikasi yang berlaku.  Jenis hubungan ini juga dilihat melibatkan dua perkara utama, iaitu duniawi dan ukhrawi selaras dengan syariat agama Islam itu sendiri.  Keseimbangan antara kedua-dua perkara itu mempengaruhi kehidupan seseorang yang lebih baik dan bertamadun.
Hubungan antara manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan alam sekitar pula dikenali sebagai komunikasi secara mendatar.  Komunikasi ini melibatkan dua orang individu secara bersemuka atau berkomunikasi dengan makluk lain seperti jin, nunian, flora atau fauna. Komunikasi jenis ini biasanya berlaku tanpa dirancang terlebih dahulu.  Misalnya, komunikasi antara kita dengan ahli keluarga, guru dan rakan-rakan.
Berbahasa dikatakan beribadat apabila komunikasi yang berlaku itu memperlihatkan ciri-ciri penyampaian maklumat yang benar, berbahasa untuk saling menegur, menasihati dan yang paling jelas ialah penggunaan berbahasa sepanjang menuntut ilmu yang bermanfaat.  Jelas bahawa berbahasa yang meperlihatkan kesan positif kepada diri sendiri atau orang lain merupakan salah satu kaedah untuk kita mentauhidkan Allah S.W.T.
Menurut Mohd Rashid Md Idris (2012:73) menyatakan bahawa terdapat empat jenis komunikasi utama, iaitu komunikasi manusia dengan pencipta-Nya, manusia dengan dirinya sendiri, manusia sesama manusia dan manusia dengan makhluk-makhluk lain. Komunikator yang berkesan dan selari dengan agama Islam dipengaruhi oleh pengamatan dan penghayan yang mendalam terhadap keempat-empat jenis komunikasi tersebut.
Manusia merupakan makhluk ciptaan Allah S.W.T yang istimewa berbanding makhluk yang lain kerana akal dianugerahkan kepada mereka.  Akal digunakan untuk berfikir mengenai kebesaran dan keesaan Allah S.W.T.  Oleh sebab itu, manusia digelar sebagai komunikator yang mempunyai akal, pancaindera dan sistem biologi yang luar biasa semasa proses berbahasa atau berkomunikasi berlaku.
Berdasarkan epik atau karya sastera Bugis, iaitu I La Galigo dapat diketahui bahawa keadaan awal masyarakat Bugis  setelah kemasukan agama Islam di tanah mereka. Menurut pendapat Andi Muhammad Akhmar yang dipetik oleh Gusti Grehenson (2012) dalam penulisannya menyatakan bahawa sastera agung Bugis ini tidak hanya dinikmati sebagai sastera sahaja tetapi sebagai pencetus Islami kepada masyarakat Bugis.
Kemasukan agama Islam dalam kalangan masyarakat Bugis berlaku tanpa menyingkirkan unsur-unsur lama mereka tetapi menyesuaikannya dengan unsur Islam. Seperti yang diketahui bahawa, sebelum kedatangan Islam, masyarakat Bugis di Sulawesi Selatan telah menganut kepercayaan kuno yang dikenali sebagai kepercayaan terhadap Dewa atau Dewata Seuwae (Tuhan yang Tunggal).
Lazimnya, karya I La Galigo yang juga disebut sebagai manuskrip La Galigo merupakan warisan masyarakat Bugis yang merangkumi empat aspek, iaitu keagamaan, kitab suci, tradisi dan kesenian. Berdasarkan pembacaan karya tersebut, masyarakat Bugis mempercayai ajaran daripada Galigo bahawa Dewa tertinggi mereka ialah La Patingga yang bermukim di kerajaan langit dan Guru Ri Selleng yang bermukim di kerajaan ghaib sebelum menganut agama Islam.
Berdasarkan kepercayaan itulah, lahirnya upacara dan tradisi masyarakat Bugis yang masih dapat ditemui dalam kebudayaan masyarakat mereka.  Bissu dan Sanro merupakan penajaga dan penyelamat La Galigo.  Bissu dikenali sebagai pendeta banci yang berperanan sebagai penghubung antara manusia dengan dewa, manakala Sanro pula berperanan sebagai pengamal yang berada di belakang layar selain bertugas menyediakan peralatan, bahan-bahan dan alat upacara.
Hampir keseluruhan upacara yang menjadi kebiasaan manusia ketika itu, didampingi oleh Bissu dan Sanro.  Misalnya, upacara penurunan padi, naik rumah dan sebagainya.  Fenomena seperti ini menggambarkan bahawa La Galigo berkait rapat dengan agama khasnya selain daripada tradisi dan kesenian masyarakat Bugis itu sendiri.
Terdapat pelbagai ajaran Islam dan Bugis yang menerapkan unsur-unsur kejiwaan yang telah diadaptasikan malahan didialogkan sehingga terpancarnya corak kebudayaan Islam dengan wajah Bugis atau disebut sebaai kebudayaan Bugis yang berwajaha Islam.  Jadi, tidak hairanlah sekiranya kita menemui doa Bissu yang ada menyebut Patatoqe sebagai Dewa yang tunggal.
Sungguhpun dalam La Galigo juga, Dewa tidak bersifat tunggal kerana masyarakat Bugis mengatakan bahawa Dewa bersifat beranak-pinak atau  sebaliknya.  Bahkan, di dalamnya juga dapat ditemui konsep siriq yang kemudiannya diadaptasi dengan konsep jihad selaras dengan ajaran agama Islam.
La Galigo dianggap sebagai kitab suci dan sumber agama bagi penganut agama To ri Olo masyarakat Bugis.  Hal yang demikian disebabkan oleh karya epik tersebut mewariskan sejumlah tradisi yang saling berkaitan dengan pelbagai upacara suci dan sakral.  Dikatakan bahawa, dalam upacara suci dan sakral itu kebiasaannya akan diiringi dengan pemotongan haiwan yang disertai dengan pembacaan sureq La Galigo.
Menurut pendapat Tol yang dipetik oleh Nurhayati Rahman (2008) menyatakan bahawa tiada pembacaan teks La Galigo tanpa diiringi upacara keagamaan. Bukan itu sahaja, sebelum pembacaan dilakukan seharusnya mengadakan persembahan sajian, dupa atau pemotongan ayam atau kambing.  Perlakuan membaca salah satu fragmen yang terdapat dalam Galigo dikatakan boleh menyembuhkan penyakit, tolak bala dan sebagainya.
I La Galigo diketahui umum bahawa tidak banyak terpengaruh dengan agama Islam, akan tetapi berdasarkan prinsip falsafah yang ketiga ini dapatlah dikaitkan bahawa terdapat kisah yang unik mengenai Sawerigading yang memaparkan pentauhidan kepada Allah S.W.T.  Menurut kepercayaan sebahagian masyarakat Bugis, Sawerigading yang diceritakan di dalam karya tersebut memiliki kekuatan yang luar biasa kerana beliau merupakan keturunan dewa, malahan sebahagian masyarakat itu menganggapnya sebagai Nabi yang diturunkan ke bumi.
Berdasarkan kisah perjalanan beliau ke pelbagai buah negara, lahir beberapa spekulasi yang mengatakan bahawa Sawerigading pernah bertemu dengan Nabi Muhammad.  Dalam pertemuan itu, mereka sempat berbincang dan berlawan antara satu sama lain.  Semasa perlawanan antara Sawerigading dengan Baginda, berlaku perlawanan seri antara kedua-duanya.  Di akhir perlawanan itu, Sawerigading mengakui dan tidak menafikan akan kehebatan Baginda.
Karya tersebut juga telah mempengaruhi sebahagian kepercayaan masyarakat Bugis kerana menurut mereka, Sawerigading mempunyai ajaran atau anutan yang hampir serupa dengan ajaran Islam.  Misalnya, solat dan haji, akan tetapi berbeza dari segi pelaksanaannya.  Sawerigading juga menggalakkan anak cucunya untuk mengunjungi Mekah.
Namun begitu, menurut pengkaji, karya agung ini tidak tepat sekiranya dikaitkan dengan prisnsip berbahasa yang ketiga, iaitu berbahasa untuk mentauhidkan Allah kerana karya ini penuh dengan mitos dan lagenda.  Misalnya, mitos penciptaan oleh Dewa langit dengan mengirimkan anaknya yang digelar Batara Guru dan We Nyili’ Timo, puteri kepada Dewa Alam Ghaib.
Umumnya, Sawerigading yang memiliki kekuatan luar biasa seperti beliau berkemampuan untuk naik ke langit dan turun ke bumi, meredakan angin ribut dan sebagainya seolah-olah beliau merupakan nabi.  Bahkan, karya ini juga lahir sebelum datangnya ajaran agama Islam.  Namun begitu, setelah pengaruh Islam meresap dalam sebahagian masyarakat Bugis pada abad ke-15, mereka telah menyesuaikan konsep dewa itu kepada Tuhan dan sebagainya tanpa mengubah kebudayaan masyarakat itu.


7.0       Kesimpulan
Pelbagai usaha yang melibatkan penterjemahan karya ini kepada bahasa-bahasa lain. Sebenarnya usaha tersebut memperlihatkan betapa pentingnya berbahasa kerana dapat menyampaikan idea atau perasaan seseorang itu.  Ternyata bahawa dengan berbahasa, seseorang itu dapat mengajarkan atau memberitahu sesuatu kepada masyarakat.  Misalnya, karya I La Galigo ini yang memberitahu kepada masyarakat lain mengenai keunikan masyarakat Bugis sejak berabad-abad dahulu lagi.
Walaupun pengarang karya agung ini masih tidak ketahui, namun sumbangannya dalam menggambarkan peranan berbahasa sangat besar kerana sebahagian daripada keadaan masyarakat Bugis dapat ditelurusi secara mendalam oleh masyarakat lain yang ingin mengetahuinya.  Jelas bahawa, ketiga-tiga prinsip bahasa yang dibincangkan di atas menggambarkan kepada kita bahawa berbahasa merangkumi kemahiran tatabahasanya, berbahasa untuk menyampaikan maklumat benar dan  akhirnya kembali semula kepada Allah dalam mentauhid-Nya.



Monday 4 March 2013

Sinopsis I La Galigo



Epik ini dimulai dengan penciptaan dunia.  Merujuk kepada Sulawesi Selatan, ketika dunia ini masih kosong, dunia terbahagi kepada tiga kerajaan, iaitu kerajaan Alam Langit, kerajaan Alam Tengah dan kerajaan Alam Ghaib. Kerajaan Alam Langit dan Alam Ghaib telah mengadakan mesyuarat untuk melantik pemerintah di alam Tengah atau Raja Alekawa (Raja Bumi).  Raja Langit dikenali sebagai La Patingga, manakala Raja dari Alam Ghaib pula dikenali sebagai Guru Ri Selleng.
Hasil daripada mesyuarat itu, La Patingga bersetuju untuk menghantar anak lelakinya yang sulung, iaitu La Toge’ untuk menjadi Raja Alekawa (Raja Bumi) dan memakai gelaran Batara Guru. Guru Ri Selleng dari kerajaan alam ghaib pula bersetuju menghantar puterinya yang bernama We Nyili’ Timo ke Alam Tengah.  Mesyuarat tersebut diadakan bertujuan agar Raja Langit dan Raja Alam Ghaib mempunyai hamba yang dapat menyembah mereka, kerana mereka beranggapan bahawa mereka tidak akan menjadi raja atau dewi sekiranya tiada seorang pun yang menyembah mereka di dunia ini.
Oleh sebab La Patingga dan Guru Ri Selleng bersaudara, maka Batara Guru akhirnya berkahwin dengan sepupunya itu, iaitu We Nyili’ Timo semasa di Alam Tengah. Sebelum Batara Guru dinobatkan sebagai Raja di bumi, beliau perlu melalui ujian selama 40 hari 40 malam.  Tamat sahaja ujian itu, beliau diturunkan ke bumi dan dikatakan beliau turun di Ussu’, iaitu sebuah daerah di Luwu’ yang terletak di Teluk Bone. Kemudian, Batara Guru digantikan oleh anaknya yang bernama La Tiuleng dengan memakai gelaran Batara Lattu’.
Batara Lattu’ kemudiannya mendapat dua orang anak kembar, iaitu lelaki dan perempuan yang masing-masing bernama Sawerigading (Putera Ware’) dan We Tenriyabeng.  Kedua-dua kembar tersebut tidak dibesarkan secara bersama.  Diceritakan bahawa suatu hari, Sawerigading ditakdirkan jatuh cinta dengan kembarnya sendiri kerana menganggap We Tenriyabeng tidak mempunyai hubungan darah dengannya sehingga beliau ingin berkahwin dengannya.
Setelah beliau mengetahui bahawa perkara itu merupakan salah satu larangan, maka Sawerigading bertekad meninggalkan Luwu’ menuju ke negeri China dan bersumpah tidak akan kembali lagi.  Sepanjang perjalanannya ke kerajaan China, beliau telah berjaya mengalahkan beberapa pahlawan termasuklah pemerintah Jawa Wolio, iaitu Setia Bonga.  Setelah tiba di negeri itu, beliau telah berkahwin dengan Datu China yang bernama We Chudai yang dikatakan mirip dengan kembarnya.
Sawerigading digambarkan sebagai seorang kapten kapal yang sangat perkasa.  Antara tempat yang pernah dilawati oleh beliau ialah Taranate (Ternate di Maluku), Gima (Bima atau Sumbawa), Jawa Rilau’ dan Jawa Ritengnga ( kemungkinan Jawa Timur dan Tengah), Melaka dan lain-lain.  Kononnya juga, beliau pernah melawat syurga dan alam ghaib.  Antara pengikut beliau ialah terdiri daripada saudara-maranya dari pelbagai rantau.  Sepanjang rombongannya akan didahului dengan kehadiran tetamu yang pelik seperti orang bunian, orang berkulit hitan dan sebagainya.
Sawerigading merupakan ayahanda kepada I La Galigo yang memakai gelaran Datunna Kelling.  I La Galigo mempunyai perwatakan yang sama dengan ayahandanya, iaitu sebagai seorang kapten kapal, seorang perantau, pahlawan mahir dan perwira yang tiada bandingannya ketika itu.  Beliau juga digambarkan mempunyai empat orang isteri yang berasal dari pelbagai negeri.  Namun begitu, walaupun Sawerigading dan anakandanya itu terkenal dengan keperwiraaan dan keperkasaaan mereka, akan tetapi merreka tidak pernah dinobatkan sebagai raja.  Pemahkotaan anak lelaki I L a Galigo yang bernama La Tenritatta di Luwu’ merupakan penceritaan yang terakhir dalam epik ini. 


Saturday 2 March 2013

UNSUR ALAM DAN HUBUNGANNYA DENGAN MASYARAKAT MELAYU LAMA DALAM KARYA AGUNG

FAKTOR-FAKTOR PENGGUNAAN UNSUR ALAM DALAM KARYA AGUNG

 KECINTAAN MASYARAKAT MELAYU TERHADAP ALAM
Pada zaman dahulu, masyarakat Melayu lebih cenderung menggunakan unsur-unsur alam untuk tujuan tertentu, seperti menamai anak-anak mereka, pembayang di dalam pantun, simpulan bahasa dan sebagainya. Hal yang demikian ini terjadi disebabkan masyarakat Melayu terdahulu sangat menghargai alam.  Mereka tidak sanggup untuk melakukan pelbagai pencemaran seperti yang berlaku pada masa kini sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. 
Perbezaan yang ketara boleh dilihat antara masyarakat Melayu lama dengan masyarakat Melayu moden dari aspek hubungan keakrabannya dengan alam.  Menurut pendapat H B Jassin di dalam penulisan master Zurinah Hassan (2007) mengatakan bahawa “Seniman yang halus perasaannya sangat rapat hubungannya dengan alam sekitar.  Dalam angan-angannya alam itu hidup juga dan tumbuh-tumbuhan, batu-batu dan bunga-bungaan baginya ialah makhluk yang bernyawa”.
Mereka juga sedar bahawa alam begitu kaya dengan flora dan faunanya telah banyak memberi manfaat dalam kehidupan seharian mereka.  Misalnya, terdapat pelbagai tumbuh-tumbuhan yang boleh dijadikan penawar penyakit dan juga binatang-binatang tertentu untuk dijadikan santapan seisi keluarga.  Bahkan, matahari atau bintang di langit memberi petunjuk kepada mereka dalam menentukan arah atau peredaran satu-satu masa tanpa menggunakan alatan canggih seperti yang disajikan pada zaman moden sekarang.
Oleh sebab itulah, banyak unsur alam diambil dan dilihat tertulis di dalam karya agung, terutamanya pantun kerana kecintaan mereka terhadap alam sekitar yang terlalu tinggi.  Hal ini bertepatan dengan pendapat Muhammad Haji Salleh yang dipetik oleh Azmi Rahman (2008) di dalam artikelnya yang mengatakan bahawa “manusia Melayu amat peka dan setia kepada alam raya”.  Kesensitivitian dan kesetiaan mereka terhadap alam telah melahirkan karya sastera yang diwarisi sehingga kini.  Antaranya ialah pantun, syair dan gurindam yang membicarakan unsur alam dalam penyampaian isi tersurat dan tersirat.
Menurut pendapat al-Ghazali yang dipetik oleh Siti Zainon Ismail (Alam Puisi:1994,22) menyarankan tentang keakraban alam atau akrab dengan alam.  Menurut beliau, seseorang penyair bukan sahaja terpukau dengan alam persekitaran secara lahiriah tetapi mengangkat makna yang lebih daripada itu secara alam batin pula dengan menggunakan unsur alam di dalam karya mereka.

PENGAMATAN TERHADAP KESERUPAAN UNSUR ALAM PADA MANUSIA
Jelas bahawa alam memainkan peranan yang sangat penting kerana masyarakat Melayu zaman dahulu berada dalam proses interaksi, interpretasi dan integrasi dengan alam di sekeliling.  Para pencipta karya yang menggunakan unsur alam perlu berinteraksi dengan alam, iaitu berkomunikasi, bercakap dan bertindak balas dengan alam baharulah proses pentafsiran berlaku. Pentafsiran di sini bermakna setiap objek alam dianggap membawa makna yang lebih besar.  Kemudian, mereka mengamati atau mengintegrasi alam sebagai keserupaan dengan dirinya atau masyarakat.
Penggunaan unsur alam yang melibatkan objek alam fizikal yang boleh dilihat dengan mata kasar manusia dan dialami secara langsung itu menjadi petanda kepada makna sebenar.  Pengamatan dan penghayatan yang tersirat dari objek-objek tersebut hanya tercapai setelah melalui proses pemerhatian, renungan dan penggunaan akal fikiran.  Segala kejadian alam adalah bukti kebesaran pencipta seperti yang dijelaskan oleh ayat yang bermaksud:
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, dan pada kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; dengan demikian juga pada air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengan tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya serta ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang-binatang, demikian juga pada peredaran angin dan awan yang tunduk kepada kuasa Allah terapung-apung di antara langit dan bumi, sesungguhnya pada semua itu ada tanda-tanda keesaaan Allah bagi kaum yang menggunakan akal fikiran.
(Al-Baqarah ayat 164)

Masyarakat Melayu dahulu  gemar merenung alam tetapi renungan itu sebenarnya berkait rapat atau berbalik semula kepada dirinya sendiri kerana renungan tersebur sebenarnya memberi makna mendalam terhadap erti kewujudan dan kehidupan yang sedang dilaluinya.  Fenomena ini berlaku kerana mereka mudah dirangsang oleh suasana alam yang diamatinya sama ada di dalam perjalan atau ketika beristirehat di rumah.  Misalnya, kisah pembukaan negeri Melaka yang asal usulnya bermula daripada kisah pelanduk yang menendang anjing perburuan Raja Iskandar ke dalam air.  Setelah baginda mengamati peristiwa itu,  maka lahirlah negeri Melaka yang terkenal dengan sejarahnya sehingga kini.
Maka Raja Iskandar Syah pun berjalan berbalik dari sana ke tepi pantai, pada sutu sungai di tepi laut; dan nama sungai itu Bertam.  Maka Raja Iskandar pun berdiri di bawah sepohon kayu, terlalulah rendang. Maka baginda pun berburu, maka anjing perburuan itupun diterangkan oleh pelanduk putih, jatuh ke air.  Maka titah Raja Iskandar Syah, “Baik tempat ini, sedang pelanduknya lagi gagah, baiklah kita berbuat negeri di sini”.
(Sejarah Melayu edisi Shellabear cetakan ke-30 dalam penulisan Zurinah Hassan).

KEKREATIFAN MASYARAKAT MELAYU DAHULU
Segala emosi dan pemikiran masyarakat zaman dahulu akan dicurahkan secara tidak berterus terang kerana mereka menggunakan unsur-unsur alam sebagai perlambangan.  Bahkan, pengunaan unsur alam inilah yang memberi keindahan atau keestetikaan dalam sesebuah karya yang dihasilkan.  Unsur-unsur alam yang digunakan sebagai perlambangan bermakna penyamaan sesuatu perkara dengan alam.
Penggunaan unsur-unsur alam lebih banyak ditemui di dalam pantun khususnya kerana pantun menggunakan alam sebagai pembayang sebelum pentafsiran makna tersirat.  Antara unsur yang dominan digunakan ialah alam laut dan lautan atau unsur waktu seperti peralihan cuaca.  Menurut Zurinah Hassan (2007) dalam penulisannya, beliau mendapati bahawa alam laut dan lautan sering digunakan untuk menyatakan pemikiran yang melibatkan falsafah, pandangan hidup, nasihat dan pedoman.
Jika dilihat dari aspek pekerjaan masyarakat Melayu dahulu, antara pekerjaan tetap mereka ialah bertani dan bersawah.  Oleh sebab itu, di dalam pantun mereka banyak menggunakan unsur alam yang dekat dengan diri mereka, seperti penggunaan tumbuh-tumbuhan, iaitu ubi dan nenas.  Misalnya:

Sudah puas kutanam ubi,
Nenas juga dipandang orang;
Sudah puas kutanam budi,
Emas juga dipandang orang.
(Bingkisan permata (2001:xlvii)

Secara lahiriahnya, ubi dan nenas sangat berbeza kerana ubi merupakan tanaman yang tersembunyi di dalam tanah berbanding nenas yang memang nampak berbuah di permukaan tanah.  Ubi disamakan dengan sikap manusia yang selalu berbudi kepada orang lain, manakala nenas disamakan pula dengan emas yang lebih bernilai di mata masyarakat.  Bahkan, ubi merupakan tanaman dominan masyarakat Melayu yang sudah sebati dengan kehidupan mereka malahan tidak sukar mendapatkannya berbanding nenas.  Oleh sebab itulah, masyarakat Melayu yang mencipta pantun sangat kreatif membandingkan sikap manusia yang lebih memandang kekayaan berbanding mengenang budi.



 UNSUR ALAM DAN HUBUNGANNYA DENGAN MASYARAKAT MELAYU


CERMINAN BUDAYA MASYARAKAT MELAYU
Sejak dahulu lagi, masyarakat Melayu terkenal dengan budaya kesantunan dan budi pekerti mereka yang tinggi.  Menurut pendapat Harun Mat Piah di dalam penulisan Himpunan Esei Penulis, budi berkait rapat dengan jasa kerana jasa adalah berbudi.  Pernyataan ini bermakna seseorang itu tidak akan dianggap berjasa sekiranya tidak berbudi kerana sikap sedekimian sejajar dengan tuntutan ajaran Islam yang menekankan hubungan baik sesama manusia.  Sikap inilah yang telah lama diamalkan oleh masyarakat Melayu sehingga diwarisi oleh generasi sekarang.
Unsur-unsur alam yang terdapat di dalam karya agung, khususnya di dalam pantun mencerminkan budaya sebenar sesebuah bangsa atau masyarakat. Pemikiran masyarakat Melayu yang menekankan aspek kesantunan dan budi bahasa terpancar melalui pemakaian unsur alam di dalamnya. Mereka telah menggunakan unsur-unsur alam yang segar dan berkesan sehingga kekal digunakan ke hari ini.  Keindahan sesebuah karya terserlah kerana penciptanya dapat menghayati unsur-unsur alam sebagai perlambangan perilaku manusia ketika itu.  Antara pantun yang menggunakan unsur-unsur alam di dalamnya dan mencerminkan budaya masyarakat Melayu ketika itu ialah:
Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan;
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.

Perkataan buah cempedak yang digandingkan dengan galah memperlihatkan penggunaan unsur alam semula jadi yang menjadi kebiasaan masyarakat Melayu mencari rezeki menggunakan alatan tersebut.  Pemilihan kedua-dua kata tersebut sangat teliti oleh penghasilnya kerana secara tidak langsung perkataan-perkataan tersebut telah memperlihatkan kelemahan dan kekurangan seseorang yang memerlukan bantuan pihak lain.
Setiap bantuan yang diperlukan tidak diberikan dengan tangan yang kosong, kerana ketika zaman itu orang yang memberi bantuan akan menyalurkan beberapa bentuk bantuan seperti peralatan bagi memudahkan kerja pihak tersebut.  Dalam pantun tersebut, galah telah diberikan untuk seseorang itu mendapatkan cempedak yang dimahukannya. 


BAHASA KIASAN SECARA HALUS
Bahasa berperanan penting dalam menyampaikan sesuatu hasrat atau hajat keadaan seseorang.  Bahasa yang baik mudah difahami maknanya sama ada secara tersurat dan tersirat. Bahasa secara tersurat merupakan bahasa yang dapat difahami secara langsung daripada pemakaian kata yang diungkapkan, manakala bahasa tersirat pula bermakna bahasa yang mengandungi makna berlapis atau mempunyai makna yang lain.  Misalnya, pantun dahulu disampaikan sewaktu orang Melayu berkebun, bersawah dan proses sebelum perkahwinan.
Menurut pendapat yang dikemukakan oleh Aminudin Mansor dalam penulisannya, beliau mengatakan bahawa kajian dan penyelidikan para sarjana mendapati salah satu cara menyampaikan buah fikiran, teguran dan sindiran adalah melalui penggunaan bahasa kiasan.  Masyarakat Melayu terdahulu gemar menyampaikan sebarang persoalan secara tidak langsung.  Mereka akan menggunakan bahasa kiasan bagi menjaga hati orang lain agar perasaannya tidak tersinggung dan terasa dengan kata-kata yang diungkapkan secara langsung.
Menurut pendapat Fatimah Busu yang dipetik dalam penulisan Mohd Khairi bin Ariffin (2010) menyatakan bahawa kesopanan yang terbit daripada rasa malu dan segan dalam kalangan masyarakat Melayu telah menimbulkan satu cara hidup yang tidak suka berterus terang.  Oleh sebab itu, berbagai-bagai bentuk bahasa kiasan digunakan bagi menggambarkan sikap rendah diri dan sifat kesopan dalam kalangan mereka.
Berikut merupakan penggunaan unsur alam yang meliputi tumbuhan dan warna bagi menyampaikan makna agar masyarakat Melayu menanamkan amalam berbudi dan berbahasa secara beretika kepada orang lain:
Yang kurik kundi,
Yang merah saga;
Yang baik budi,
Yang indah bahasa.
Bingkisan permata (2001xlv)




PEMINDAHAN PERASAAN MASYARAKAT MELAYU
Salah satu tujuan unsur alam digunakan adalah untuk memindahkan perasaan pengkarya sendiri kepada unsur alam itu sendiri.  Misalnya, jika seseorang itu sedang berduka, maka dia akan mengatakan bahawa ‘bulan pucat’ atau ‘hujan yang turun bagaikan air mata’.  Namun begitu, jika seseorang itu tidak berduka pula, kata bulan boleh diungkapkan seperti ‘bulan tersenyum’ atau hujan dikatakan gugur bagaikan mutiara.
Mustahil sekiranya manusia tidak mempunyai perasaan seperti gembira, sedih, terharu, marah dan sebagainya semasa berhadapan dengan sesuatu masalah atau perkara dalam kehidupan seharian.  Oleh sebab itu, unsur-unsur alam yang digunakan dalam karya, khususnya pantun memperindahkan lagi karya tersebut supaya sedap untuk dibaca dan didengar dalam kalangan masyarakat Melayu dahulu hinggalah kini.  Misalnya:

Telur merpati telur tunggal,
Taruh mari atas meja;
Emak mati bapa meninggal,
Pada siapa hendak bermanja.
Bingkisan permata (2001:270)

Pantun di atas memeperlihatkan perasaan seorang anak yang sedang kesedihan atas kematian kedua orang tuanya.  Pemergian kedua orang tua buat selama-lamanya menyebabkan seseorang anak itu hilang tempat untuk bermanja dan bergantung hidup ketika suka dan duka.  Kata telur merpati yang bersifat tunggal itu bermakna hanya sebiji telur merpati sahaja yang ada ketika itu yang kemudiannya diletakkan di atas meja.  Penggunaan unsur tersebut sangat serasi situasinya dengan kehidupan seseorang yang kehilangan ibu bapa.
Selain daripada pantun, unsur alam juga dapat dilihat dalam peribahasa yang digunakan oleh masyarakat Melayu dahulu lagi sehinggalah sekarang.  Sering kali peribahasa yang diungkapkan juga berperanan penting untuk melahirkan perasaan seseorang.  Misalnya, perasaan geram terhadap mereka yang tidak dapat menunaikan tanggungjawab dengan baik.  Peribahasa tersebut ialah:
Harapkan pagar, pagar makan padi (Kumpulan Pantun Melayu (1983:4)
Berdasarkan peribahasa tersebut, terdapat dua unsur alam yang digunakan atau diterapkan di dalamnya, iaitu pagar dan padi. Kedua-dua kata tersebut adalah bersifat kontra kerana para pesawah akan memastikan padi yang ditanam mereka dijaga rapi dengan membina pagar di sekelilingnya bagi mengelak ancaman binatang lain yang boleh merosakkan kesuburan padi.  Ringkasnya. Kita boleh memahami secara terus atau langsung makna tersurat berdasarkan unsur alam yang dipililh dalam peribahasa itu.
Dari konteks kehidupan manusia pula, kata pagar itu sebenarnya merujuk kepada seseorang yang diberikan amanah untuk menjaga atau melaksanakan sesuatu pekerjaan mengikut etika-etika tertentu.  Kata padi pula merujuk kepada perkara atau sesuatu yang dipertanggungjawabkan kepadanya.  Misalnya, seseorang yang diamanahkan untuk memimpin negara dengan adil, tetapi pemimpin itu telah melakukan korupsi secara sulit.  Inilah yang dikatakan mengharap seseorang yang sudah diyakini kebertanggungjawabannya, tetapi meyalah gunakan kuasa atau tanggungjawabnya itu untuk tujuan yang lain.


RUJUKAN PERSEKITARAN MASYARAKAT YANG MENGHASILKANNYA
Sesungguhnya, sebahagian besar unsur alam ditemui dalam pantun, sama ada dijadikan sebagai perbandingan yang konkrit atau sebagai pernyataan yang abstrak sahaja.  Pada asasnya, sesebuah pantun yang dihasilkan oleh masyarakat Melayu lama secara tidak langsung menyerlahkan persekitaran di sekelilingnya.  Ringkasnya, penggunaannya menyatakan latar alam dan latar budaya yang diwakili oleh unsur alam itu.
Masyarakat pantai, pesisir, darat, kota, desa atau pedalaman terangkum sebagai latar di dalam sesebuah pantun.  Terdapat banyak ratusan pantun yang merujuk kepada persekitaran masyarakat yang menghasilkannnya.  Antaranya ialah masyarakat pesisir atau masyarakat pelaut yang berkemahiran mengenai laut, pelayaran ataupun daripada seorang pemikir yang benar-benar mengetahui tentang laut.  Berdasarkan itulah, imej-imej laut diserlahkan dalam segala situasi.
Kumpulan pantun yang terdapat di dalam Bingkisan Permata telah menyenaraikan beberapa senarai yang terperinci bagi merujuk unsur alam dan rujukan masyarakat terhadap laut.  Misalnya seperti berikut:
a)      Laut, pantai, tanjung, teluk, pulau, darat, arus
b)      Karang, ombak, buih, anjung, gelombang, angin, bayu, ribut, taufan
c)      Ikan (yang pelbagai jenis), udang, ketam, lokan, teritip, kepiting, dan sebagainya.
Unsur-unsur alam di atas memperlihatkan pengetahuan dan sifat kepekaan masyarakat Melayu yang mendalam dan terperinci.  Masyarakat yang tidak mempunyai pengetahuan dan pengalaman tentang laut, malahan kehidupan sosial yang melahirkankarya itu tidak mampu untuk mentafsir segala situasi yang disebutkan di atas.  Jikalau, unsur tersebut meliputi lautan,  sesetengah masyarakat juga menggunakan unsur alam yang berada di darat dalam penghasilan pantun atau jenis-jenis sastera yang lain.  Misalnya:
a)      Segala jenis haiwan, di darat, di air dan di angkasa
b)      Segala jenis burung
c)      Segala jenis tumbuh-tumbuhan, buah-buahan, sayur-sayuran dan bijian.
d)     Segala jenis bunga
e)      Segala bahagian daripada tumbuh-tumbuhn dan pohonan seperti akar, batang daun, ranting, tamuk dan sebagainya.
Menurut latihan ilmiah yang dihasilkan di Fakulti Sains Fizik dan Gunaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (1987) yang disebut oleh Harun Mat Piah (2011:xxxii) membuktikan bahawa hampir 200 spesies (192) jenis flora yang digunakan di dalam pantun. Kenyataan ini disahkan kewujudannya, diberikan nama-nama saintifik, ciri-ciri dan fungsinya serta hubungannya dengan budaya Melayu.
Perkara yang menarik ialah keserupaan maksud atau pemikiran penghasilnya mengikut kesesuaian ciri-ciri unsur alam yang digunakan.  Bahkan, kajian lain untuk Ijazah M.A. di Jabatan Persuratan Melayu yang berjudul “Perlambangan dalam Pantun Melayu” Universiti Kebangsaan Malaysia (1991) yang turut di sebut oleh Harun Mat Piah dalam kajiannya mengenai pantun menyenaraikan pelbagai unsur alam yang digunakan sebagai lambang dan citra indah yang berkesan dalam pantun.  Perhatikan contoh di bawah:
Buah langsat kuning mencelah,
Senduduk tidak berbunga lagi,
Sudah dapat gading bertuah,
Tanduk tidak berguna lagi.

Kayu jati teras binalu,
Bunga rampai di dalam puan,
Biar kumati jangan kumalu,
Syukur kusampai denganmu tuan.
Bingkisan permata (2001:xxi)

Sudah terang lagi bersuluh bahawa kedua-dua rangkap pantun di atas menggunakan unsur alam, iaitu flora dan fauna sebagai lambang kepada situasi yang berlaku dalam masyarakat.  Kata buah langsat yang masak kekuningan dan senduduk yang kekeringan menunjukkan sifat kekontrasan masing-masing.  Walau bagaimanapun, kedua-dua kata tersebut begitu tepat dengan gandingan kata gading dan tanduk yang memperihalkan dua sikap manusia, iaitu manusia yang bertuah dan manusia yang tidak berguna lagi. 
Hal yang sama juga di dalam rangkap pantun yang kedua, kerana penggunaan unsur alam seperti kayu jati dan bunga rampai sangat sesuai dijadikan lambang kepada keteguhan cinta, azam dan sumpah setia.  Tegasnya, perlambangan tersebut memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat ketika itu yang sedang berkasih sayang antara satu sama lain. Pemilihan unsur flora yang diterapkan biasanya terdiri daripada jenis alam yang indah dari segi rupa dan ciri-cirinya yang lain selain ketepatan dalam perbandingan dengan kehidupan manusia.


RUJUKAN GAMBARAN TERHDAP KECANTIKAN WANITA ZAMAN ITU
Masyarakat Melayu lama dikatakan mempunyai kebebasan dan bersifat tersendiri dalam membuat dan mencari istilah atau perbandingan yang mereka rasakan pada waktu itu.  Kenyataan ini dibuktikan dengan gambaran yang dilakukan oleh masyarakat Melayu lama dalam menggambarkan kecantikan seorang puteri.
Menurut kajian Ghazali yang dipetik oleh Wan Akmal Wan Semara di dalam bukunya (Unsur Puitika dalam Puisi Melayu Tradisional: 2005,20) mendapati bahawa sastera Melayu lama turut memperlihatkan contoh terbaik terhadap penggunaan bahasa perbandingan dalam bahasa berirama.  Menurut beliau juga, masyarakat Melayu lama menggunakan unsur bahasa perbandingan jenis simile untuk menggambarkan kecantikan puteri itu.
Masyarakat Melayu lama juga dikatakan mempunyai idiom sendiri mengikut keseseuian gaya estetika pengarang lama.  Kebanyakan dalam kalangan mereka memeasukkan rasa daripada lahirnya.  Ringkasnya, sekiranya rasa indah yang dilahirkan itu dapat kita tanggapi maka bandingan tersebut telah mendekati kenyataan.  Misalnya:
...wajahnya gilang-gemilang,
Bagai lilin dituang.
Mukanya bundar bagai bulan penuh.
Matanya bagai bintang timur.
Hidungnya bagai seraut jatuh.
Dagunya bagai lebah tergantung.
Pipinya bagai pauh dilayang.
Alis matanya lentik bagai kiliran taji.
Bulu matanya bagai semut beriring.
Jarinya bagai duri landak.
Tumitnya bagai telur burung.
Pinggannya segelung jari.
Jalanya bagai si ganjur lalai,
Daripada maju surut nan lebih...
(Hikayat Awang Sulong Merah Muda yang dipetik oleh Ghazali dalam Undur Puitika dalam Puisi Melayu Tradisional)


SIMBOLIK KEPADA MASYARAKAT MELAYU LAMA
Lazimnya, perkaitan antara perasaan dan pemikiran lebih banyak terbentuk daripada unsur alam yang banyak dijumpai dalam pantu seperti yang diterangkan sebelum ini.  Simbolik merupakan salah satu unsur bahasa perbandingan yang sebenarnya melibatkan proses pemindahan sifat seseorang kepada sesuatu yang lain.  Ringkasnya, maksud atau makna yang hendak disampaikan adalah menggunakan benda lain sebagai lambang atau simbolnya.  Antaranya ialah:
Sifat binatang kepada manusia, seperti sifat harimau yang buas kepada manusia yang ganas, sifat ulat yang kecil dan lemah kepada manusia yang lemah dan tidak berupaya manakala sifat buaya yang lahap tidak memilih makanan termasuk bangkai kepada manusia yang sama sifatnya.  Pantun berikut membuktikan simbolik ini:
Cik Embong orang Melaka,
Tanam peria tepi pantai;
Jangan sombong tuan berkata,
Adakah buaya menolak bangkai?

Pantun Melayu (1961) yang dipetik oleh Ghazali dalam Undur Puitika dalam Puisi Melayu Tradisional)

Selain itu juga, unsur simbolik juga dibentuk apabila menyatakan sesuatu di luar erti kata itu sendiri.  Biasanya, unsur simbolik ini berkait rapat dengan sifat konotasi.  Salah satu contoh yang biasa digunakan oleh masyarakat Melayu lama ialah ‘sekumtum bunga’ dan ‘sekalian kumbang’ dalam pantun berikut:
Belayar masuk Kuala Kedah
Patah tiang timpa kemudi
Sekuntum mawar terlalu indah
Sekalian kumbang asyik berani.
Pantun Melayu yang dipetik oleh Ghazali dalam Undur Puitika dalam Puisi Melayu Tradisional)

Kata sekuntum mawar dan sekalian kumbang mempunyai simbolik yang bukan sekadar tertumpu kepada sekuntum mawar dan kumbang itu salaha, malah lebih daripada itu.  Kata mawar boleh mengungkap makna cinta yang suci, sesuatu yang indah atau sesuatu yang penuh dengan kelembutan dan kemesraan.  Kata kumbang pula merujuk kepada makna cinta yang palsu, penggoda, sesuatu yang penhu keghairahan atau bernafsu.