Wednesday 29 May 2013

Penggunaan Bahasa dalam Hikayat Inderaputera

Hikayat Inderaputera merupakan salah satu daripada kesusasteraan bahasa Melayu yang ditulis sebelum 1700-an. Hikayat Inderaputera juga merupakan karya agung Melayu genre lipur lara yang sangat terkenal dan tersebar luas pada abad ke-17 hingga abad ke-19. Terdapat beberapa unsur keindahan yang kita boleh lihat dalam karya Inderaputera, terutamanya dari segi penggunaan bahasanya. Pada permulaan Hikayat Inderaputera sudah menampakkan penggunaan bahasa yang indah, iaitu:

“Bahawa ini kisah ceritera Hikayat Inderaputera yang indah-indah perkataannya yang masyur pada tanah manusia dan pada tanah jin, terlalu elok rupanya, syahdan kesaktiannya dan terlalu pantas barang lakunya, dan sikapnya terlau baik dan rupanya terlalu amat manis seperti laut madu, dan jejaknya sederhana, barang lakunya dan pekertinya terlalu bai”.
                                                                                                (Hikayat Inderaputera, 2007:1)

Contoh tersebut memperlihatkan keindahan bahasanya seperti ‘amat manis seperti laut madu’ yang menampakkan rupa seseorang yang terlalu manis dan elok wajahnya.

            Selain itu, Hikayat Inderaputera juga banyak menggunakan unsur keislaman dalam penggunaan bahasa dalam karya tersebut. Hikayat Inderaputera dikitkan dengan keindahan ‘kekayaan tuhan’. Keindahan tersebut dilihat sebagai hasil Tuhan Maha Pencipta. Contoh penggunaan bahasa yang menampakkan unsur keislaman dalam Hikayat Inderaputera adalah seperti berikut:

“          Maka Inderaputera pun turun ke sebelah gunung itu. Maka dilihatnya beberapa bagai pohon buah-buahan dan bagai-bagai rasanya dimakan Inderaputera. Maka Inderaputera hairan melihat segala kekayaan Subahanahu wa Ta’ala.
Maka Inderaputera pun lalu berjalan menuju matahari hidup, beberapa melalui bukit dan padang. Maka ada suatu padang rumputnya seperti zamryt warnanya. Maka Inderaputera pun berjalan ke padang itu. Maka ada suatu bukit terlalu baik rupanya dan ada airnya mengalir daripada kaki bukit itu terlalu jernih dan sejuk. Maka di bawah bukit beberapa pohon kayu bagai-bagai rupanya dan warnanya. Maka didengar oleh Inderaputera bunyi suara orang bernyanyi dan bersyair, dan suara orang madah dan berpantun dan berseloka. Maka Inderaputera pun hairan seraya berhenti di sana melihat kekayaan Allah Ta’ala yang indah-indah. Maka kenyang  rasa hati Inderaputera melihat yang indah-indah, terlalu suka hatinya melihat. Maka Inderaputera mengucap syukur akan dirinya dan minta doa kepada Allah Ta’ala akan ayah bondanya.”
(Hikayat Inderaputera, 2007:19&20)

Bahasa yang digunakan berdasarkan contoh petikan tersebut menunjukkan terdapat unsur keislaman yang digunakan. Penggunaan bahasa dalam Hikayat Inderaputera ini sememangnya sangat indah dalam menampakkan unsur keislaman. Selain itu, terdapat contoh lain yang menampakkan unsur keislaman dalam penggunaan bahasa dalam hikayat tersebut, iaitu seperti berikut:

“....Ya ayahanda, sekalian hamba Allah itu semuanya lupa dan lalai, hanya Allah Ta’ala juga yang tiada lupa dan lalai. Serahkanlah hambamu kepada Allah subhanahu wa Ta’ala, ia juga memeliharakan segala hambanya.”
(Hikayat Inderaputera, 2007:16)

“Setelah itu maka kata Inderaputera kepada tuan puteri, ‘Hai saudaraku, mari juga tuan turun ke bawah mahligai ini, sebentar dilihat oleh tuan hamba kuasa Allah Subhanahu wa Ta’ala, kalau dapat hidup segala anak raja-raja.”
(Hikayat Inderaputera, 2007:101)

Di samping itu, dalam Hikayat Inderaputera juga banyak sekali digunakan perkataan ‘elok’ serta ‘merdu’ tentang apa-apa sahaja yang tampil di mata seperi bunga, binatang pandai berpantun, kecantikan malah tentang tindakan dalam pertempuran dan lain-lainnya sebagai ganti kepada perkataan ‘indah’. Contohnya:


“...Maka segala bidadari itu pun menanggalkan bajunya lalu turun mandi ke kolam. Kemudian maka Tuan Puteri Kemala Ratnasari pun menanggalkan bajunya antakusuma itu. Maka Inderaputera pun melihat rupa Tuan Puteri Kemala Ratnasari itu terlalau elok rupanya, gilang-gemilang tiada dapat ditentangnya. Maka Inderaputera pun hairan melihat rupa Tuan Puteri Ratnasari itu.”
(Hikayat Inderaputera, 2007:37)

“Setelah bidadari itu mendengar pantun Inderaputera maka segala bidadari itu pun tertawa seraya memandang kepada Inderaputera. Maka dilihat oleh bidadari itu rupa Inderaputera terlalu baik paras, syahdan manis barang lakunya seperti laut madu. Maka segala bidadari itu pun kembali mendapatkan tuan puteri.”
(Hikayat Inderaputera,2007:39)

“Setelah dilihat Inderaputera Tuan Puteri Kemala Ratnasari datang ke hadapannya, maka dilihat oleh Inderaputera rupa tuan puteri itu, diamat-amatinya, terlalu sekali elok rupanya, baik paras, syahdan manis barang lakunya lebih daripada laut madu.”
(Hikayat Inderaputera, 2001:43)

Contoh-contoh petikan tersebut memperlihatkan perkataan ‘elok’ sering digunakan untuk menggambarkan sesuatu yang cantik dan indah.

            Selain itu, pantun juga turut diselitkan dalam Hikayat Inderaputera. Terdapat beberapa pantun dalam hikayat tersebut. Bahasa yang digunakan dalam pantun tersebut menampakkan maksud yang jelas. Contoh pantun yang terdapat dalam Hikayat Inderaputera adalah seperti berikut:

“Mempelam tumbuh di parit,
Dipagar Dang Ratnawali,
Katakan salam doa dagang yang gharib,
Minta dikenali.”

“Tumbuh padi tanam  halia,
Kalau halia tiada tumbuh,
Embuh kami mengenali dia,
Kalau setia tiada sungguh.”

“Tumbuh padi tanam halia,
Kalau halia tiada tumbuh,

Embuh kami mengenali dia,
Kalau setia tiada sungguh.”

“Jika halia tiada tumbuh,
Ganja dikarang akan destar,
Jika setia tiada sungguh,
Bukanlah beta anak raja besar.”

(Hikayat Inderaputera, 2007:115)

Penggunaan bahasa dalam  pantun tersebut mudah untuk difahami dan bahasa yang digunakan juga begitu indah dan menarik untuk didengari.  Selain itu, bahasa yang digunakan untuk pembuka kata, iaitu rangkap pertama dan kedua dalam pantun tersebut menggunakan perkataan  yang  mempunyai unsur alam seperti halia, padi dan juga mempelam. Terdapat contoh-contoh pantun yang menggunakan perkataan selain daripada unsur alam sebagai  perbuka kata dalam Hikayat Inderaputera. Contoh-contoh pantun tersebut dalam Hikayat Inderaputera adalah seperti berikut:

“Utar-utar di atas pintu,
Pakaian Jawa main rakit,
Orang sukar saja begitu,
Membuang nyawa makanya dapat.”

“Perisyai bertali rambut,
Rambut dipintal akan cemara,
Adakah besyi tahu takut,
Adakah muda gentarkan marah.”

(Hikayat Inderaputera, 2007:118)

Contoh-contoh pantun di atas menggunakan bahasa selain unsur alam sebagai pembuka kata, iaitu pada baris pertama dan juga kedua. Selain itu, bahasa yang digunakan dalam Hikayat Inderaputera juga halus dan indah apabila menggunakan kiasan ala tradisi pantun apabila ingin memaklumkan bahawa beliau begitu mengagumi kecantikan dan keindahan bidadari ketika mereka mandi laut dengan menggambarkan pelbagai bunga dan tumbuhan. Contohnya,
‘Apa dicari bayan terbang,
Rajawali menyambar dia,
Apa dicari dayang berulang-ulang,
Orang bestari mendapat dia.

(Hikayat Inderaputera, 2007:39)

‘Anak gerda mudik sekawan,
Siripnya dilanggar duduk,
Sisiknya lekat di tangan Inderaputera,
Anak Maharaja Bikrama Bispa.

(Hikayata Inderaputera, 2007:42)


No comments: