Wednesday 29 May 2013

Gaya Bahasa dalam Hikayat Inderaputera

Simile
Simile adalah perumpamaan. Simile juga merupakan perbandingan terus, iaitu membandingkan dua hal yang pada hakikatnya berlainan tetapi dengan sengaja kita menganggapnya sama. Perumpamaan ini secara jelas mengungkapkan sesuatu perbandingan atau persamaan dengan menggunakan perkataan ‘seperti’, ‘bagai’, ‘laksana’ dan sebagainya. Antara contoh penggunaan gaya bahasa simile dalam Hikayat Inderaputera adalah seperti berikut:
“Maka ujar bayan itu, ‘Tiadakah ghairat hari tuanku mendengar khabar Tuan Puteri Ratna Serigading, timang-timangannya Tuan Puteri Cenderalela Nurlela di Padang Anta Berahi di atas mahligai yang keemasan bertatahkan ratna mutu manikam, terlalu elok rupanya, rambutnya seperti cincin dituang,  dahinya bagai sehari bulan, keningnya bagai ditaji dibentuk, matanya bagai bintang timur, hidungnya bagai kuntum melur, telinganya bagai telepok layu, pipinya bagai pauh dilayang, bibirnya bagai pati dicarik, giginya bagai delima merekah, lidahnya bagai cerana diupam, dagunya bagai awan bergantung, lehernya bagai kumba dilarik, bahunya bagai bahu wayang, lengannya bagai panah dibentur, jarinya bagai duri landak, susunya bagai telur burung, dadanya bagai antaran hanyut, pinggangnya bagai tangkai bunga, pahanya bagai paha belalang, betisnya bagai bunting padi, tapaknya bagai dua jari hujung’
Maka kata bayan itu, ‘Patut sekali dengan tuanku, seperti bunga kembang sekaki, kembangnya tidak nirmala lagi.’
(Hikayat Inderaputera, 2007:96)

Aliterasi
Aliterasi merupakan sejenis gaya bahasa pengulangan bunyi konsonan yang sama pada awal kata dan yang berturutan waima dalam puisi tradisional, puisi moden, prosa tradisional, prosa moden waima kreatif atau bukan kreatif. Penggunaan gaya bahasa dalam Hikayat Inderaputera boleh dilihat berdasarkan contoh-contoh berikut:
“Apa ketupat padi Dang Nilam,
Temu-temu parang lengkuas,
Apa ubat hati yang dendam,
Sukar bertemu makanya puas,”

“Ke padang rimba raya,
Kumbang menyeri pekan sutera,
Kepada pemandangan sahaya,
Sedang akan isteri Inderaputera.”
(Hikayat Inderaputera, 2007:121)


Berdasarkan contoh tersebut, gaya bahasa pengulangan aliterasi dapat dilihat dalam pengulangan huruf ‘t’ dalam beberapa perkataan.

Asonansi

Asonansi adalah gaya bahasa pengulangan bunyi vokal yang sama pada setiap baris atau pada setiap ayat yang biasanya secara berturutan supaya memperoleh kesan tertentu waima dalam puisi tradisional, puisi moden, prosa tradisional, prosa moden sama ada kreatif ata bukan kreatif. Pengguanaan gaya bahasa asonansi dalam Hikayat Inderaputera boleh dilihat berdasarkan contoh-contoh berikut:

‘Utar-utar di atas pintu,
Sarung keris sudah dirapat,
Orang sukar sahaja begitu,
Orang arif maka mendapat.

‘Telak empelas di dalam padi,
Menteri duduk berdagang gelang,
Tidaklah belas hati tuan puteri,
Melihat dagang terulang-ulang.
(Hikayata Inderaputera, 2007:97)
 Anafora
Anafora merupakan sejenis gaya bahasa pengulangan perkataan pertama pada setiap baris atau pada setiap ayat yang biasanya secara berturutan supaya memperoleh kesan tertentu waima dalam puisi tradisional, puisi moden, prosa tradisional, prosa moden sama ada kreatif atau bukan kreatif. Penggunaan gaya bahasa anafora ini boleh dilihat berdasarkan contoh berikut dalam Hikayat Inderaputera:

Maka segala ikan dalam parit itu pun timbul seraya tertawa melihat laku anak raja itu berkeliling mencari jalan. Maka ikan itu pun berpantun, demikian bunyinya...’
(Hikayat Inderaputera, 2007:96)

Maka anak raja itu pun hairan mendengar ikan itu berpantun. Maka ujar anak raja itu, “Dari mana gerangan jalan ke mahligai tuan puteri ini?”
(Hikayat Inderaputera,2007:97)
Sinkof
Sinkof merupakan sejenis gaya bahasa penyirnaan, iaitu pengguguran huruf sisip atau suku kata sisip perkataan atau dengan menghilangkan huruf tengah atau suku kata bagi perkataan atau pewujudan kata singkat atau ringkas, iaitu kata yang terhasil akibat penghilangan huruf atau suku kata. Penggunaan sinkof dalam Hikayat Inderaputera boleh dilihat berdasarkan contoh berikut:


Maka kata raksyasya itu, “Hai orang muda, jangan aku engkau bunuh, apa kehendakmu supaya kuberi!”
Maka dihunus Inderaputera pedangnya seraya memarang raksyasya itu, maka kata Inderaputera, “Hai Raksyasya, apatah yang ada padamu?”
Maka sahut raksyasya itu, “Ada pada hamba suatu hikmat geliga. Jikalau hendak masuk ke dalam kayu atau ke dalam batu dapat masuk.”
Maka kata Inderaputera, “Marilah geliga itu berikan kepadaku, supaya engkau kulepaskan tiada kubunuh.”
(Hikayat Inderaputera, 2007:174)

Hiperbola

Hiperbola merupakan salah satu daripada kelompok gaya bahasa pertentangan, iaitu sejenis gaya bahasa yang mengandungi kenyataan tentang sesuatu perkara secara berlebih-lebihan atau secara melampau waima dari segi jumlahnya, ukuran atau sifatnya. Tujuannya adalah untuk memberi penekanan maksud terhadap sesuatu perkara ataupun situasi demi memperhebat, meningkatkan kesan dan pengaruhnya. Contoh penggunaan gaya bahasa hiperbola dalam Hikayat Inderaputera boleh dilihat berdasarkan contoh berikut:

‘Setelah itu maka segala anak raja-raja itu bertemulah dengan Inderaputera. Maka dilihatnya rupa Inderaputera itu terlalu elok bercahaya, gilang-gemilang mukanya. Maka segala anak raja-raja itu semuanya memberi hormat kepada Inderaputera dan berjabat tangan dengan Inderaputera.’
(Hikayat Inderaputera, 2007:175)


No comments: