Friday 26 April 2013

Falsafah Melayu dalam Sulalatus Salatin


Maka sembah Demang Lebar Daun, “Sungguh tuanku seperti khabar orang itu; jikalau tuanku berkehendakkan patik itu, patik sembahkan, namun tuanku berjanji dahulu dengan patik. Maka titah baginda, “Apa janji paman hendak diperjanjikan dengan hamba itu? Katakan oleh paman hamba dengar”. Maka sembah Demang Lebar Daun, “Barang maklum duli tuanku Yang Maha Mulia, jikalau anak patik telah terambil ke bawah duli, jikalau ia kena penyakit seperti patik-patik yang lain, telah maklum ke bawah duli tuanku itu, jikalau ada ampun kurnia duli Yang Maha Mulia, janganlah tuanku keluarkan dari bawah istana tuanku. Biarlah ia menjadi gembala dapur Yang Maha Mulia, dan menyapu sampah di bawah peraduan duli tuanku. Seperkara lagi, perjanjian patik mohonkan anugerah ke bawah duli Yang Maha Mulia, segala hamba Melayu jikalau ada dosanya ke bawah duli, patik pohonkan jangan difadihatkan, dinistakan yang keji-keji, jikalau patut pada hukum syarak bunuh, tuanku; jangan duli tuanku aibi”.
Berdasarkan petikan dalam perenggan pertama tersebut diceritakan bahawa Seri Teri Buana telah jatuh hati dan berhasrat untuk mengahwini anak perempuan kepada Demang Lebar Daun. Hasrat Seri Teri Buana itu kemudiannya telah diketahui oleh Demang Lebar Daun yang kemudiannya telah bersetuju memenuhi hasrat tersebut. Namun begitu, Demang Lebar Daun telah memohon kepasa Seri Teri Buana supaya tidak akan menghalau puterinya keluar selepas berkahwin dengan Seri Teri Buana kelak. Demang Lebar Daun memohon agar anak perempuannya tetap tinggal di dalam istana walaupun sebagai hamba istana yang bekerja di dapur atau mengemas bilik peraduan Seri Teri Buana. Selain itu, Demang Lebar Daun memohon sekiranya ada hamba Melayu yang melakukan kesalahan terhadap baginda tidak dikeji dan dihina. Sekiranya mereka wajar dijatuhkan hukuman bunuh, ia haruslah dilaksanakan tanpa memalukan mereka.
Maka titah Seri Teri Buana, “Kabullah hamba akan janji Paman itu; tetapi hamba pun hendak minta janji juga pada Paman.” Maka sembah Demang Lebar Daun, “Janji yang mana itu, patik pohonkan titah duli Yang Maha Mulia”. Maka titah Seri Teri Buana, “Hendaklah oleh segala anak cucu hamba, jikalau ada salahnya sekalipun, atau zalim jahat pekertinya, jangan segala hamba Melayu itu derhaka dan menitikkan darahnya ke bumi, jikalau mereka itu akan cedera, berundur hingga takluk begerinya juga.”
            Dalam perenggan kedua pula menceritakan bahawa Seri Teri Buana bersetuju terhadap permintaan Demang Lebar Daun itu dan baginda juga memohon agar hamba Melayu tidak akan menderhaka sekiranya keturunannya kelak memerintah dengan zalim dan kejam. Seri Teri Buana juga berharap tiada berlakunya pertumpahan darah di dalam negeri yang berada dibawah pemerintahan baginda dan keturunannya kelak. Sekiranya ada hamba Melayu yang telah dizalimi, mereka hendaklah melarikan diri dan berlindung di wilayah jajahan takluk pemerintah mereka tanpa bertindak untuk menderhaka terhadap pemerintah mereka.
            Kandungan karya sastera tersebut menerangkan konsep falsafah yang dapat dijelaskan berdasarkan sudut pandangan bahasa, iaitu waad membawa kepada maksud perjanjian ataupun juga dapat dikatakan sebagai kontrak sosial. Di dalam konteks yang terdapat dalam karya sastera Sulalatus Salatin ini ialah waad merujuk kepada perjanjian antara Seri Teri Buana yang mewakili golongan pemerintah, manakala Demang Lebar Daun pula mewakili golongan rakyat. Waad ini dilakukan apabila Seri Teri Buana berhasrat untuk mengahwini anak perempuan Demang Lebar Daun yang kemudiannya memohon agar Seri Teri Buana tidak akan menghalau keluar anak perempuannya keluar dari istana sebaliknya dijadikan hamba di istana jika ditimpa penyakit kedal selepas berkahwin dengan baginda.
            Bagi sudut pandangan praktis pula dapat menerangkan bahawa isi kandungan karya sastera Sulalatus Salatin tersebut adalah berbentuk amali, iaitu lebih kepada tindak tanduk atau perbuatan. Berdasarkan kepada isi kandungan karya tersebut dapat dijelaskan bahawa waad menerangkan tentang aspek ilmu politik. Perjanjian tersebut dilakukan bagi tujuan memelihara keharmonian negara dan telah menjadi asas dalam sistem pemerintahan kerajaan Melayu. Sistem sosial ini amat penting kerana ianya bagi mengawal keseimbangan antara golongan pemerintah dan hak rakyat sesebuah negara. Melalui, sistem kedua belah pihak akan saling berhubung dalam satu hubungan timbal balik kerana kedua belah pihak saling memerlukan antara satu sama lain.
            Sudut pandangannya berbanding ilmu-ilmu lain dapat dihuraikan bahawa karya sastera menjelaskan tentang pandangan waad terhadap alam yang dapat dijelaskan mengenai hubungan sesama manusia yang merupakan mikrokosmos, iaitu salah satu unsur yang wujud di dalam alam ini dan melalui falsafah waad menunjukkan wujudnya keseimbangan antara perhubungan sesama manusia. Selain itu, falsafah waad ini juga dapat diperkenalkan melalui hakikat kewujudannya yang merupakan satu konsep yang diperkenalkan melalui pemikiran yang datang melalui pelbagai cara seperti akal, bukti logikal dan rasional. Ia kemudiannya telah dijadikan konsep untuk digunakan dalam perhubungan antara sesama manusia yang dipisahkan mengikut susunan hierarki yang wujud antara mereka. falsafah waad tersebut telah mewujudkan konsep ‘derhaka’ dan ‘tulah’ yang secara tidak langsung telah mengukuhkan lagi institusi pemerintahan.





No comments: