Wednesday 29 May 2013

Ciri-ciri I La Galigo

I La Galigo merupakan salah satu daripada karya teks sastera Bugis Kuno yang berbentuk epik.  Karya ini dikatakan ditulis dari kerajaan Luwu’, Sulawesi Selatan, Indonesia pada abad ke-13 lagi.  Bahkan, karya ini juga dikatakan sebagai sebuah epik yang terpanjang di dunia, iaitu wujud sebelum epik Mahabrata dan Ramayana dari India lagi.  Sinopsis bagi karya I La Galigo adalah sebanyak 2851 halaman dan menurut naskhah cerita aslinya pula mencapai 300 000 baris.Selain itu, karya sastera Bugis ini ditulis dalam bentuk puisi bahasa Bugis Kuno dengan menggunakan huruf Lontara Kuno Bugis.  Puisi-puisi tersebut terdiri daripada sajak yang bersuku lima.

Antara cirinya yang lain ialah I La Galigo mempunyai struktur cerita yang panjang dengan memuatkan beberapa subcerita di dalamnya.  Subcerita yang dikenali sebagai episod itu pula dilihat daripada dua sudut pula. Pertama, episod yang merupakan cerita keseluruhan La Galigo. Kedua, episod-episod tersebut dikatakan merupakan cerita tersendiri dalam bingkai La Galigo.  Hal yang demikian ini disebabkan oleh kepanjangan ceritanya merangkumi setiap tokoh sehingga tidak tertampung penceritaannya dalam satu-satu episod. Bukan itu sahaja, malahan terjadi satu-satu cerita mempunyai dua atau tiga episod sekaligus di dalamnya. Dengan erti kata lain, hal ini bergantung kepada kuantiti peristiwa yang diceritakan dalam epik ini.

I La Galigo juga tidak boleh diterima sebagai teks sejarah kerana isi penceritaannya penuh dengan mitos dan peristiwa-peristiwa yang luar biasa.  Namun begitu, karya ini tetap memberi gambaran kepada sejarahwan mengenai kebudayaan Bugis sebelum abad ke-14. Epik kemudiannya hidup dan berkembang dalam kalangan masyarakat Sulawesi, Kalimantan dan Semenanjung Melayu yang disampaikan secara lisan dan juga tulisan kepada masyarakat ketika itu.  Pengarang bagi epik I La Galigo masih tidak diketahui lagi.
Sebahagian manuskrip I La Galigo dapat ditemui di perpustakaan-perpustakaan tertentu, khususnya di Perpustakaan Leiden, Belanda.  600 halaman mengenai epik ini terdapat atau tersimpan di Yayasan Kebudayaan Sulawesi Selatan dan Tenggara.  Jumlah halaman epik  yang tersimpan di Eropah dan di Yayasan Kebudayaan Sulawesi Selatan dan Tenggara ialah 6000 halaman dan tidak termasuk simpanan oleh orang perseorangan lagi. 

I La Galigo pernah dipentaskan di beberapa buah negara Eropah sebelum dipentaskan di negeri mereka sendiri. Sepanjang tahun 2004, La Galigo telah dipentaskan di Belanda, Perancis dan Amerika.  Respon yang positif telah diberikan dari pelbagai lapisan masyarakat mengenai pementasan tersebut.  Bahkan, Koran The New York Times sangat kritis dalam memberikan komen-komen yang positif mengenai La Galigo yang dipentaskan itu.

Robert Wilson bertanggungjawab melaksanakan pementasan itu yang merupakan seorang seniman teater dari Amerika Syarikat.  Perkara yang agak mengecewakan ialah pementasan itu tidak diangkat sendiri oleh masyarakat Bugis sehinggakan beberapa kali pementasan telah diadakan di Eropah berbanding di negeri mereka.  Fenomena ini telah menyebabkan epik ini diadaptasi dan berlaku percampuran kebudayaan luar, akan tetapi masih mengekalkan ciri-ciri kebudayaan Makassar.


No comments: